Advertisement
Perak Akan Sekat Kehadiran Samseng Bola Sepak
Liga Super
MakanBola
Perak FC

Kemeriahan aksi El Clasico Malaya membabitkan Perak dan Selangor di Stadium Perak semalam sedikit tercemar dengan pergaduhan kumpulan penyokong kedua-dua pasukan. Susulan itu, pengurusan The Bos Gaurus mengumumkan bakal menyekat samseng-samseng bola sepak daripada memasuki stadium.

Dalam satu kenyataan media hari ini, pengurusan Perak menyifatkan insiden tersebut mengugat keselamatan penyokong yang hadir. Justeru, pengurusan pasukan mahu memastikan insiden ini tidak berulang dan memastikan semua orang boleh hadir ke Stadium Perak tanpa perlu bimbangkan keselamatan diri.

“Kami akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa dalam masa terdekat bagi mengenalpasti pelaku dan akan mengambil tindakan larangan kehadiran mereka ke stadium bagi menghentikan pengaruh negatif ini.

“Perak FC mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) atas tindakan tangkas mereka dalam menghuraikan pergaduhan dan provokasi antara kedua-dua penyokong.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tingkah laku buruk yang menimbulkan kekacauan dan mengganggu keharmonian,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman media sosial Perak hari ini.

Insiden pergaduhan penyokong Selangor dan Perak ini menjadi bualan ramai apabila video pergaduhan dimuatnaik di laman media sosial. Dan pasukan yang dibimbing Datuk Lim Teong Kim itu pastinya ingin tahu bentuk hukuman yang bakal dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Antara hukuman yang menanti ialah denda dan beraksi tanpa penonton. Sekiranya Seladang dihukum beraksi tanpa penonton untuk beberapa perlawanan, ia bukan saja bakal memberi kesan kepada pendapatan pasukan pada hari perlawanan.

Malah, ia juga satu pengajaran pahit kepada penyokong-penyokong yang berlagak samseng ini bahawa tindak-tanduk mereka sebenarnya merugikan pasukan kesayangan mereka itu.