Bek tengah Perak FC, Shivan Pillay enggan menjadikan pertukaran venue sebagai alasan di sebalik kekalahan mereka di tangan Sabah FC.
Perak beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk baki kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Ini disebabkan stadium keramat mereka, Stadium Perak menjalani proses penaiktarafan yang sedang berjalan. Ini termasuk penukaran rumput lembu kepada rumput Zeon Zoysia untuk padang stadium berkenaan.
Selain beraksi di Manjung, Perak juga perlu beraksi di sebelah petang kerana lampu limpah Stadium MPM belum memenuhi spesifikasi yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Shivan enggan menjadikan pertukaran venue sebagai alasan di sebalik kekalahan terbaru The Bos Gaurus. Sebaliknya, itu akan menjadi pembakar semangat mereka apabila turun dalam aksi gelanggang sendiri seterusnya.
“Bagi kita, perlawanan (diadakan) di sini, berlatih pun (di Stadium MPM). Jadi, kita tak boleh guna padang sebagai alasan (kekalahan).
“Jadi, kita akan bekerja lebih keras untuk tambah baik pasukan kita. Dan harapnya kita dapat kemenangan di stadium baru dalam aksi gelanggang sendiri seterusnya,” katanya.
Perak tewas 4-2 kepada Sabah dalam aksi terbaru liga pada 19 Oktober lalu. Ko Kwang-min, Stuart Wilkin, Joao Pedro dan Miguel Cifuentes mencipta nama sebagai penjaring buat Sang Badak.
Manakala Perak pula meraih dua gol menerusi penalti kapten, Luciano Guaycochea dan penyerang Brazil, Clayton da Silva.
Keputusan ini menyaksikan Sabah kini menghuni tangga keempat liga dengan 17 mata. Manakala Perak pula di tangga keenam dengan 15 mata.
Selepas ini, The Bos Gaurus bakal berdepan Peteh di Manjung untuk aksi liga seterusnya pada 26 Oktober ini.