Melihat benteng Perak FC yang rapuh sejak kebelakangan ini, pengurusan The Bos Gaurus segera bertindak mendapatkan pemain baru menjelang tetingkap perpindahan kedua pada bulan depan. Hari ini, pengurusan Seladang mengumumkan perpindahan bek tengah Filipina, Jesper Nyholm.
Kehadiran Nyholm, 29 yang berdarah Filipina-Sweden ini diharap mampu memperkuat benteng pertahanan Perak FC. Ramai menjangkakan jurulatih interim, Yusri Che Lah bakal menggandingkannya dengan Sunday Afolabi di posisi tersebut.
Nyholm menyertai The Bos Gaurus sebagai ejen bebas selepas tamat kontrak bersama kelab Thai League 1, Muangthong United. Bekas bek tengah Djurgaden itu membantu Muangthong menduduki tangga keempat liga musim lepas.
Sebelum menyertai The Kirins, kebanyakan karier Nyholm dihabiskan di negara kelahirannya, Sweden. Selain Djurgaden, beliau juga pernah beraksi untuk AIK, Dalkurd dan Gamla Upsala SK.
Selepas menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan Filipina pada 2021, Nyholm telah merekodkan empat penampilan dan satu gol bersama mereka.
Perpindahan Nyholm bukan satu-satunya urusan perpindahan yang bakal dilaksanakan Perak FC pada Julai ini. Dengan The Bos Gaurus masih berada di kelompok tercorot, lebih ramai pemain baru perlu dibawa masuk bagi membantu mereka keluar daripada kelompok tersebut.