Selepas hanya menghadapi satu perlawanan liga pada bulan Ogos, Perak FC bakal berdepan tiga aksi mencabar pada September ini.
The Bos Gaurus yang dibimbing Yusri Che Lah sepatutnya berdepan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) untuk satu-satunya aksi liga mereka pada Ogos.
Walau bagaimanapun, perlawanan yang berlangsung pada 17 Ogos itu di Stadium Perak terpaksa ditangguhkan atas faktor hujan lebat dan padang yang digenangi air.
Kini, semakan terbaru jadual liga mendapati Perak perlu beraksi di tempat lawan sebanyak dua kali dan di gelanggang sendiri sekali.
Perak bakal berdepan Negeri Sembilan FC di Paroi pada 14 September. Ini disusuli aksi menentang KL City FC di Ipoh pada 21 September.
Selepas itu, The Bos Gaurus akan berkelana ke Temerloh pula untuk menghadapi cabaran pasukan Pantai Timur, Sri Pahang FC pada 28 September.
Aksi Negeri Sembilan-Perak bakal menemukan kembali penyokong Perak dengan legenda pasukan itu, K. Nanthakumar. Ini selepas jurulatih berusia 46 tahun itu menggalas peranan jurulatih Sang Rusa.
Nanthakumar membantu Negeri Sembilan bangkit dengan nota positif apabila mengikat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-2 di Alor Setar pada 17 Ogos lalu.
Sementara aksi Perak-KL City pula dilihat medan balas dendam buat anak buah Yusri. Ini kerana pasukan Lembah Klang itu menewaskan The Bos Gaurus dua kali pada musim 2023.
Meskipun The City Boys mengalami prestasi merudum, pasukan itu masih memiliki beberapa tonggak Harimau Malaya seperti Paulo Josue, Haqimi Azim dan Azri Ghani.
Manakala Sri Pahang pula dilihat peluang buat Perak untuk mengecapi kemenangan ke atas pasukan itu sejak 2021. Ini kerana The Bos Gaurus menjadi mangsa Tok Gajah sebanyak lima kali termasuk pada musim 2023.
Musim 2023 menyaksikan Sri Pahang meraih kemenangan ke atas Perak sebanyak dua kali. Ini termasuk kemenangan 1-0 di Kuantan pada 30 Julai 2023 menerusi jaringan Kpah Sherman.