Perancang tengah Liverpool FC, Arthur Melo ditimpa musibah apabila difahamkan terpaksa disisihkan dalam jangka masa yang agak lama.
Krisis yang melanda jentera tengah Liverpool memaksa Jurgen Klopp membuat panggilan kecemasan untuk meminjam Arthur dari Juventus.
Pemain kebangsaan Brazil ini menjadi watak penting ketika bersama Barcelona dan akhirnya telah bersetuju untuk terbang ke Liverpool secara pinjaman.
Walau bagaimanapun, perjalanan cerita pemain berusia 26 tahun ini tidak seindah yang dijangka apabila beliau terpaksa diketepikan dalam tempoh 4-5 bulan.
Beliau yang baru sahaja beraksi selama 13 minit bersama The Reds dilaporkan bakal menjalani pembedahan sekaligus berkemungkinan terlepas peluang beraksi di Piala Dunia.
Arthur menunjukkan komitmen yang cukup tinggi termasuklah berlatih sendirian ketika cuti pertengahan September lalu dalam usaha merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
Kini, harapan beliau seolah-olah hanya tinggi angan-angan untuk menempatkan diri dalam skuad Piala Dunia Brazil.
Liverpool juga terpaksa menelan hakikat apabila kehilangan khidmat seperti Naby Keita, Oxlade-Chamberlain dan juga Curtis Jones juga akibat kecederaan.