Perancis Dikejutkan Pasukan Ke-33 Dunia
MakanBola
FA Malaysia

Pasukan gergasi Eropah, Perancis menerima tamparan hebat menjelang Piala Dunia 2026 apabila tewas kepada Ivory Coast dalam aksi persahabatan antarabangsa di Nantes.

Aksi menentang pasukan Afrika itu merupakan sebahagian daripada dua aksi pemanas badan anak buah Didier Deschamps sebelum Piala Dunia bermula.

Pada awalnya, kem Les Bleus ceria apabila bintang Manchester City, Rayan Cherki meletakkan tuan rumah di hadapan pada separuh masa pertama.

Gol tersebut menjadi pendorong buat Ivory Coast untuk bangkit pada babak kedua. Tonggak Strasbourg, Guela Doue menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-53.

Doue yang juga abang kepada bintang Paris Saint-Germain (PSG), Desire kemudiannya memainkan peranan sebagai pencipta gol. Beliau membuat hantaran yang pantas disudahkan bintang Manchester United, Amad Diallo pada minit ke-84.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Kekalahan ini dilihat memalukan buat Perancis kerana menurunkan ramai tonggak handalan untuk aksi berkenaan.

Antara pemain yang diturunkan Deschamps dalam kesebelasan utama ialah Cherki, Ibrahima Konate, Michael Olise, Marcus Thuram, Dayot Upemecano dan kapten, Kylian Mbappe.

Persembahan mantap Doue turut mendapat pengiktirafan Sofascore. Beliau mendapat markah 8.4, jauh meninggalkan bintang Sunderland, Simon Adingra dan Cherki yang berkongsi markah 7.5.

Perancis akan turun menentang Ireland Utara untuk aksi pemanas badan terakhir pada 9 Jun. Setelah itu, anak buah Deschamps akan membuka kempen Kumpulan I Piala Dunia menentang Senegal pada 17 Jun.

Ivory Coast pula akan membuka kempen Kumpulan E menentang pasukan Amerika Selatan, Ecuador pada 15 Jun.

Claim Money Packet TnG