Piala Dunia
CBS Sports Golazo
Advertisements

Hasrat Perancis untuk layak ke separuh akhir Piala Dunia 2022 menjadi kenyataan selepas berjaya menundukkan England 2-1 dalam perlawanan terakhir pusingan suku akhir hari ini.

Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan bermula seimbang. Tetapi Perancis terlebih dahulu menguji penjaga gol Jordan Pickford menerusi Olivier Giroud pada minit ketujuh selepas mendapat hantaran Kylian Mbappe. Tetapi disebabkan dirinya membelakangi gol, ia sukar diterjemahkan dalam bentuk gol.

Les Bleus akhirnya mendahului pada minit ke-17 menerusi sepakan cantik Aurelien Tchouameni. Pickford tidak dapat berbuat apa-apa apabila sepakan pemain tengah Real Madrid itu menembusi gawangnya selepas mendapat hantaran penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann. England cuba bangkit menerusi sepakan percuma Luke Shaw pada minit ke-20 tetapi berjaya dinafikan oleh penjaga gol Spurs, Hugo Lloris. Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements
Harry Kane England Perancis Piala Dunia 2022 Fabrizio Romano Perancis Singkirkan England Dari Piala Dunia
Harry Kane meraikan jaringan penyamaan pada minit ke-54. Gambar: Fabrizio Romano

Selepas rehat, Three Lions akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Harry Kane pada minit ke-54. Ini selepas pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka dijatuhkan Tchouameni dalam kotak penalti. Kane tenang menewaskan Lloris yang juga kapten penyerang berbisa itu di Tottenham bagi membantu England mengikat Perancis 1-1. Gol tersebut turut membantu Kane menyamakan rekod jaringan terbanyak England iaitu 53 gol yang dipegang Wayne Rooney.

Kedua-dua pasukan kemudiannya mula berbalas serangan bagi mendapat kelebihan gol kedua. Kylian Mbappe menghantar bola kepada Ousmane Dembele pada minit ke-57 tetapi gagal menyudahkan bola hantaran graduan Monaco itu. Tiga minit selepas itu, Saka pula menguji Lloris tetapi sepakannya mudah diselamatkan bekas penjaga gol Lyon itu.

Bek tengah Manchester United, Harry Maguire hampir meletakkan England di hadapan menerusi tandukan selepas mendapat umpanan sepakan percuma Jordan Henderson pada minit ke-69. Bagaimanapun, tandukannya terkena tiang sebelum sedikit tersasar. Lapan minit selepas itu, Giroud pula menguji Pickford menerusi sepakan voli selepas berjaya mengatasi Shaw tetapi pantas ditepis penjaga gol Everton itu.

Advertisements
Giroud menewaskan Pickford untuk gol kemenangan Perancis. Gambar: Citi Sports

Namun begitu, kesungguhan bekas penyerang Chelsea itu akhirnya berhasil apabila berjaya menewaskan Pickford seminit selepas itu. Sekali lagi, Griezmann menjadi pencipta gol yang membuat hantaran bola kepada Giroud. Walaupun cuba dicabar Maguire, tandukan Giroud sudah cukup meletakkan Les Bleus kembali di hadapan.

Harry Kane kecewa penaltinya pada minit ke-84 terbang melepasi gol Perancis. Gambar: ESPN FC

England kemudiannya diberi peluang menyamakan kedudukan, sekali lagi menerusi sepakan penalti pada minit ke-84. Ini selepas VAR mendapati pemain tengah Chelsea, Mason Mount ditolak bek kiri Theo Hernandez dalam kotak penalti. Tetapi tidak seperti penalti sebelumnya, Lloris menghela nafas lega selepas penalti Kane terbang melepasi palang.

Three Lions yang terdesak memasukkan Marcus Rashford untuk menambah sengat di bahagian serangan. Dan England berpeluang menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-98 tetapi sepakannya sedikit tinggi melepasi palang. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan dengan Perancis mara ke separuh akhir.

Advertisements

Dengan keputusan ini, Les Bleus bakal berdepan Maghribi di pentas separuh akhir. Dengan Maghribi mempunyai motivasi untuk jadi pasukan Afrika pertama layak ke final, Perancis pastinya memerlukan magis Griezmann dan Mbappe agar dapat melepasi Singa Atlas. Jika mereka layak ke final, mereka berpeluang mempertahankan Piala Dunia yang dimenangi pada 2018.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram