“Perbualan Saya & Kassim Biasa” – Shahril Mokhtar
MakanBola
FA Selangor

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar memberikan komennya berhubung tangkap layar perbualan bersama Kassim Bacha.

Baru-baru ini, perbualan dua individu ini menjadi hangat susulan ia ditunjukkan semasa sesi Meja Bulat oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Baginda memaklumkan bahawa terdapat usaha untuk mempengaruhi keputusan pengadil berdasarkan bukti perbualan antara Shahril Mokhtar dan Kassim Kadir Bacha – Ketua Unit Pengadil di FAM.

Shahril menyatakan rasa terkejut selepas suaranya didakwa mampu untuk mempengaruhi keputusan badan pengadil dalam negara.

“Saya baru perasan diri saya boleh mempengaruhi pengadil-pengadil di Malaysia. Saya rasa itu satu penghormatan jugalah.

“Mesej saya bersama Ketua Unit Pengadil yang juga sahabat saya bertahun-tahun, perbualan itu adalah biasa.

“Saya bukan sahaja komen tentang perlawanan Selangor FC malah pasukan-pasukan lain juga. Pada saya, ia biasa,” ujarnya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Beliau juga sedia mengemukakan lebih banyak tangkap layar perbualannya bersama Kassim Bacha sambil menegaskan fokus pembangunan bola sepak Malaysia perlu diteruskan.

“Kalau betul nak tunjuk perbualan di Whatsapp itu, banyak lagi yang saya boleh tunjukkan,” tambahnya lagi.

“Perkara ini harus dihentikan. Jika benar kita mahu memajukan bola sepak di Malaysia, kita perlu fokus dan suara-suara tepi ini tidak perlu dilayan.

Beliau juga sudah pun mengemukakan bukti awal kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) serta terbuka untuk memberikan kerjasama sekiranya siasatan mahu dilakukan.