Dengan saingan Liga Super bakal bersambung pada 31 Mac ini, antara perlawanan tumpuan ialah perlawanan setempat Lembah Klang membabitkan Selangor dan KL City. Bagi pengendali City Boys, Bojan Hodak, perlawanan menentang Merah Kuning dianggap perlawanan paling mudah buatnya.
Ini kerana menurut jurulatih Croatia itu, anak-anak buahnya tidak memerlukan motivasi tambahan untuk mengalahkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe itu. Bojan tahu dengan status Selangor sebagai pasukan gergasi, KL City sudah pasti mahu menambah derita mereka.
Selangor ibarat harimau luka selepas dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0 dalam perlawanan kelima Liga Super. Dengan perlawanan menentang KL City pada 31 Mac ini, sudah pastinya Cheng Hoe tidak mahu perkara sama berulang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Ya, perlawanan paling mudah ialah menentang Selangor. Mereka mempunyai bajet tiga kali ganda dan mempunyai banyak wang untuk membeli pemain terbaik liga. Jadi, saya tak perlu memotivasikan pemain-pemain saya.
“Dalam perlawanan sebegini, perkara baiknya ialah pemain-pemain sudah kembali kecuali yang menjalani penggantungan. Semua pemain lain juga sudah kembali dan mereka ada keazaman untuk memenangi perlawanan ini tanpa motivasi tambahan.” katanya kepada Astro Arena.
Begitupun, City Boys tempang tanpa beberapa pemain menjelang aksi pada 31 Mac. Ini kerana Akram Mahinan dan Zhafri Yahya masih belum pulih daripada kecederaan tisu otot dan ligamen.
Sementara pemain tengah Itali, Sebastian Avanzini pula tidak dapat menyertai pasukan kerana perlu menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning. Walaupun tanpa beberapa pemain tonggak, Bojan percaya para pemain sedia ada mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
“Ia tidak bagus untuk pasukan disebabkan mereka merupakan tonggak kesebelasan utama. Tapi seperti yang saya katakan, kita sudah biasa dengan situasi ini dan kita perlu fokus, para pemain juga perlu faham,” tambahnya.