Seorang bintang muda Barcelona yang pernah dilatih di Malaysia berpeluang beraksi dalam Piala Dunia 2026 bersama Mesir.
Bintang muda Mesir, Hamza Abdelkarim berpeluang berbuat demikian selepas namanya berada dalam senarai skuad kebangsaan Mesir untuk kejohanan itu.
Hamza yang baru saja menyertai Barcelona pada awal tahun ini antara tiga penyerang yang dipanggil pasukan gergasi Afrika itu. Selain beliau, turut tersenarai bintang Manchester City, Omar Marmoush dan Aktay Abdullah.
Legenda Liverpool, Mohamed Salah turut berada dalam senarai sebagai tonggak utama Mesir di bahagian tengah.
Apa yang menarik ialah Hamza pernah dilatih di Malaysia dengan beraksi bersama pasukan FC Kuala Lumpur. Perkara ini pernah dikongsikan jurulatih bola sepak akar umbi tempatan, Shazwan Wong.
Malah, Shazwan sentiasa mengikuti perkembangan Hamza terutama selepas menyertai Barcelona. Sebaik mendapat tahu nama pemain itu dipanggil menyertai Mesir, beliau merasa bangga dengan berita berkenaan.
“Hamza Abdel Karim berada dalam skuad (Mesir)! Pemain pertama FC Kuala Lumpur yang menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ke Piala Dunia!” katanya di X.
Selain Mesir, beberapa negara juga sudah mengumumkan skuad masing-masing ke Piala Dunia. Antaranya Portugal, Belgium dan Curacao.