Penyerang Terengganu FC, Gervane Kastaneer sah bakal beraksi di pentas Piala Dunia 2026.
Ini selepas Persekutuan Bola Sepak Curacao (FFK) mengumumkan senarai 26 pemain yang akan membawa cabaran negara itu ke kejohanan berprestij berkenaan.
Apa yang menarik ialah Kastaneer juga menjadi pemain Liga Malaysia (Liga M) pertama yang dipanggil beraksi dalam Piala Dunia.
Fakta menarik itu dikongsikan HarimauMYstats menerusi satu perkongsian di X. “Penyerang Terengganu, Gervane Kastaneer mencipta sejarah menjadi pemain pertama dari Liga Malaysia terpilih ke Piala Dunia,” katanya.
Berita ini juga menyaksikan Terengganu bakal menerima durian runtuh susulan pemilihan Kastaneer bersama Curacao. Ini kerana ini sebahagian daripada Program Faedah Kelab FIFA (CBP).
Penambahbaikan CBP pada September 2025 menyaksikan kelab akan menerima ganjaran jika mereka melepaskan pemain beraksi dalam tempoh dua tahun pusingan kelayakan hingga pusingan akhir Piala Dunia.
Kastaneer dijangka bersaing dengan tujuh penyerang lain untuk slot peledak utama. Ini termasuk bekas penyerang Brighton, Jurgen Locadia dan bekas bintang muda Manchester United, Tahith Chong.
Curacao kembali mendapat sentuhan jurulatih veteran Belanda, Dick Advocaat. Advocaat kembali membimbing pasukan itu menggantikan rakan senegara, Fred Rutten.
Curacao bakal membuka kempen Kumpulan E dengan menentang bekas juara dunia, Jerman pada 14 Jun ini.