Selangor Bakal Terima Ganjaran FIFA RM3 Juta
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC bakal menerima ganjaran sebanyak RM3 juta daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ini kerana menurut wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, ini selepas Selangor membenarkan dua tonggak import mereka mewakili Jordan sehingga layak ke Piala Dunia 2026.

Dua tonggak tersebut ialah pemain tengah, Noor Al-Rawabdeh dan pemain pertahanan, Mohammad Abualnadi.

RM3 juta itu merupakan kadar harian yang bermula dari saat pemain melaporkan diri sehingga berjaya mengesahkan Jordan isi slot ke Piala Dunia.

“Selangor bakal terima ‘manis manis’ lebih RM3 juta daripada FIFA di atas kerjasama membentuk dan menjaga keperluan dua pemain import mereka Noor Al Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi sehingga berjaya membantu Jordan ke pentas Piala Dunia 2026.

“Ini adalah kadar harian yang bermula dari saat pemain melaporkan diri sehingga berjaya mengesahkan Jordan isi slot ke Piala Dunia. Sebanyak AS$355 juta (RM1.4 bilion) telah diperuntukkan untuk pembayaran kepada semua kelab terlibat,” katanya di X.

Peruntukan AS$355 juta (RM1.4 bilion) merupakan sebahagian daripada perubahan Program Faedah Kelab FIFA (CBP) yang diumumkan FIFA pada September 2025.

Sebelum ini, kelab-kelab hanya akan menerima ganjaran jika pemain mereka tersenarai dalam skuad negara yang layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

Kini, kelab-kelab akan menerima ganjaran jika mereka melepaskan pemain beraksi dalam tempoh dua tahun pusingan kelayakan hingga pusingan akhir kejohanan berprestij itu.

Dana program tersebut turut ditambah dari AS$260 juta (RM1.04 bilion) kepada AS$355 juta (RM1.4 bilion).

CBP telah dilaksanakan dalam empat edisi Piala Dunia termasuk edisi 2022 di Qatar. Edisi 2022 menyaksikan AS$202 juta (RM842 juta) telah diagihkan kepada 440 kelab daripada 51 ahli FIFA membabitkan enam konfederasi.

Selangor bukan satu-satunya kelab Malaysia yang bakal menerima ganjaran CBP. Terengganu FC juga bakal menerima ganjaran program sama menerusi penyerang Curacao, Gervane Kastaneer.

Ini kerana Kastaneer membantu Curacao layak ke Piala Dunia 2026.

Claim Money Packet TnG