Bekas jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil percaya pengalaman memberi kelebihan kepada pasukan itu untuk mengatasi cabaran Sabah FC dalam aksi terbaru Liga Super di Stadium Likas.
Nidzam berpandangan sedemikian kerana meskipun diasak tuan rumah yang memburu jaringan kemenangan, Selangor bukan saja tenang menyerap asakan. Malah, pasukan itu berjaya mencari dua gol tambahan untuk meraih kemenangan 4-2.
Nidzam turut memuji kematangan yang ditampilkan pemain pertahanan kebangsaan, Quentin Cheng. Bekas tonggak Merah Kuning itu melihat Quentin semakin matang dari segi corak permainan terutama apabila mencipta peluang menjaringkan gol.
“Ketika 2-2, kita boleh bayangkan bagaimana Quentin yang bermain di pertahanan kanan, ada di atas kotak penalti (Sabah). Jadi, betapa yakinnya Quentin, betapa selesa dia untuk berada dalam kotak untuk bermain.
“Walaupun pada asalnya ada kesilapan dari segi hantaran, tetapi ada satu umpanan kepada Quentin itu jika dia tidak naik ke situ, peluang itu tak akan berlaku.
“Jadi, ini menunjukkan Selangor ada pemain-pemain berkualiti yang sedang matang dengan baik. Jadi, Quentin salah seorang yang boleh mengubah perlawanan malam ini,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Selangor pada awalnya mendahului menerusi dua tonggak import, Vitor Pernambuco dan Hugo Boumous. Sabah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Gonzalo Di Renzo dan Fayadh Zulkifli.
Selangor tidak patah semangat dan kembali mengatur rentak. Hasilnya, mereka meledakkan dua lagi gol menerusi Quentin dan Aliff Izwan Yuslan untuk meraih kemenangan di Likas.
Kemenangan itu turut menyaksikan Selangor merampas tampuk pendahulu Liga Super daripada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

