Liga Super

Jurulatih Negeri Sembilan Kecewa Tewas Di Laman Sendiri

Web 20261129 092451 0000 Jurulatih Negeri Sembilan Kecewa Tewas Di Laman Sendiri
NSFC

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, Daniel Gimenez tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas skuad kendaliannya tewas 1-2 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2026-27 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Advertisement

Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal pada minit ke-51, namun Terengganu bangkit pada penghujung perlawanan dengan dua gol menerusi Jordan Mintah pada minit ke-85 dan Romel Morales pada minit ke-90 untuk membawa pulang tiga mata.

Mengulas mengenai kekalahan tersebut, Gimenez mengakui keputusan itu cukup mengecewakan, terutama apabila beliau merasakan pasukannya mampu memperoleh sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan berkenaan.

“Organisasi permainan kami pada separuh masa pertama cukup baik dengan berjaya menyekat ruang pergerakan lawan dan mencipta beberapa peluang menerusi serangan balas. Namun, beberapa kesilapan kecil selepas ketinggalan telah menghukum kami.

“Kami tidak boleh hilang fokus walaupun sesaat ketika berdepan pasukan yang memiliki kualiti tinggi di bahagian serangan,” katanya.

Dalam pada itu, Gimenez turut memuji semangat juang anak buahnya yang terus memberikan tentangan meskipun Terengganu berjaya meledak gol kedua pada penghujung perlawanan.

“Para pemain tidak pernah berputus asa, malah terus meningkatkan tempo permainan, mempercepatkan gerakan bola dan mencipta peluang untuk mengancam pihak lawan.

“Bagaimanapun, kami perlu memperbaiki aspek hantaran terakhir, ketenangan ketika berada di dalam kotak penalti serta kawalan terhadap serangan balas apabila terlalu ramai pemain bergerak ke hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, Gimenez menegaskan pasukannya perlu segera bangkit dengan melakukan penilaian terhadap kelemahan yang dikenal pasti sebelum memberikan tumpuan kepada perlawanan seterusnya.

“Kami akan meneliti rakaman perlawanan secara objektif bagi mengenal pasti kelemahan serta aspek positif yang boleh diperbaiki. Dalam saingan liga, tiada banyak masa untuk terus memikirkan perkara yang sudah berlaku.

“Apa yang penting ialah mengekalkan semangat juang dan memperbaiki kelemahan dalam situasi penting supaya pasukan mampu kembali ke landasan kemenangan,” tegasnya.

Keputusan itu menyaksikan Terengganu menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan untuk mengutip lapan mata selepas lapan aksi, manakala Negeri Sembilan kekal dengan lima mata.

Negeri Sembilan kini perlu mengalihkan perhatian kepada aksi seterusnya menentang Kelantan Red Warrior FC pada 4 Disember ini, sementara Terengganu bakal menerima kunjungan pasukan sama pada 11 Disember.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...