“Kami tidak boleh kehilangan bola begini,” Itulah amaran Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon kepada anak-anak buahnya walaupun menang 4-2 ke atas Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, petang tadi.
Kemenangan itu tidak datang dengan mudah. Pendahuluan dua gol yang dibina skuad pelawat lebur dalam tempoh kurang 10 minit pada babak kedua, sebelum mereka bangkit semula untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 4-2. Kemenangan ketujuh berturut-turut itu sekali gus menyaksikan mereka merampas takhta pendahulu liga.
Ketua jurulatih Gergasi Merah itu memuji semangat juang pemainnya yang enggan mengalah walaupun pasukan tuan rumah berjaya mengikat kedudukan 2-2.
“Semua yang ditunjukkan pemain kami, saya rasa mereka layak menang malam ini kerana mereka bekerja sangat keras.
“Walaupun kami menjaringkan dua gol terlebih dahulu dan keadaan menjadi 2-2, kami segera bangkit dan menjadikannya 3-2, kemudian 4-2,” katanya selepas perlawanan.
Selangor membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Vitor Pernambuco sebelum Hugo Boumous menggandakan kelebihan pada minit ke-53. Bagaimanapun, Rhinos bangkit menerusi Gonzalo Di Renzo pada minit ke-61 dan pemain gantian Fayadh Zulkifli yang menyamakan kedudukan.
Gol Quentin Cheng hasil hantaran Kay Tejan serta jaringan Aliff Izwan pada minit ke-88 akhirnya memastikan kemenangan menjadi milik skuad pelawat.
Bekas jurulatih Harimau Malaya itu turut menghargai sumbangan setiap pemain dalam skuadnya.
“Itulah kekuatan semua pemain kami, jadi saya sangat menghargai mereka semua,” ujar beliau.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu tidak menyembunyikan kebimbangan terhadap dua gol yang dibolosi.
“Saya perlu kembali dan menonton semula dengan teliti apa masalahnya kerana saya tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku, tetapi kami akan ambil masa untuk memperbetulkan perkara ini,” katanya.
Pengendali berusia 57 tahun itu menegaskan kesilapan seperti itu tidak boleh berulang jika Selangor mahu kekal di puncak.
“Kami tidak boleh kehilangan bola seperti ini jika mahu kekal di atas. Jadi, saya rasa ini pengajaran yang baik untuk kami. Kami akan belajar sesuatu daripada perlawanan hari ini,” tambah beliau.
Selangor kini mendahului carta Liga Super dengan 21 mata. Mereka akan kembali beraksi di laman sendiri untuk menentang DPMM FC pada Sabtu depan, 5 Disember, di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, dengan sepak mula dijadualkan pada jam 9.00 malam.


