Liga Super

Selangor Tarik Nafas Lega

Selangor Selangor Tarik Nafas Lega
Selangor FC

Selangor FC menarik nafas lega kerana enam orang pemain pasukan itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Advertisement

Sebelum ini, enam pemain Merah Kuning menarik diri daripada menyertai kem Harimau Malaya di China untuk dua aksi antarabangsa kerana masalah kecederaan. Masalah kecederaan itu dialami selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC.

Situasi ini mendorong jurulatih interim kebangsaan pada ketika itu, Tan Cheng Hoe memanggil lima pemain yang berada dalam senarai menunggu. Enam pemain tersebut ialah Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A. Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.

Kini, Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan badan induk itu tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap enam pemain berkenaan. Keputusan itu dibuat berpandukan kepada keputusan ujian perubatan yang dikemukakan Selangor kepada FAM.

Ini ditambah dengan badan induk itu tidak menghantar pegawai perubatan skuad kebangsaan untuk membuat pemeriksaan seperti yang digariskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarbangsa (FIFA).

“Sebenarnya mereka sudah menghantar surat kepada kami sebaik perlawanan Selangor menentang Kuching City,” kata Ghani seperti dilaporkan Stadium Astro.

“Doktor juga sudah mengesahkan bahawa mereka memang mengalami kecederaan, jadi kami hormati pandangan doktor dan kerana itu kami memanggil pemain dalam senarai menunggu.”

Berita ini dijangka melegakan pengurusan Selangor lebih-lebih lagi dengan pasukan itu kini menerajui carta Liga Super. Hal ini berlaku selepas Merah Kuning mengatasi Sabah FC 4-2.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...