Liga Super

Liga Super: Selangor Benam Sabah Penuh Cemas

Selangor Sabah Liga Super: Selangor Benam Sabah Penuh Cemas
Selangor FC

Selangor merekodkan kemenangan ke-7 berturut-turut dalam aksi Liga Super selepas membenam tentangan Sabah di Stadium Likas.

Advertisement

Kemenangan 4-2 berjaya dilakar Selangor ke atas Sabah dalam perlawanan Liga Super pada Sabtu, namun anak didik Kim Pan-gon terpaksa berhempas pulas sebelum membawa pulang 3 mata berharga.

Bintang import tinggi lampai, Kay Tejan menggalas tugas selaku penggempur utama Selangor bagi menggantikan tempat Chrigor Moraes sementara Dominic Tan memimpin benteng pertahanan Sabah.

Permulaan baik buat pelawat apabila Vitor Pernambuco berjaya meletakkan Selangor di depan seawal minit ke-6 menerusi satu percubaan kaki kiri yang cantik bagi menewaskan Juan Flere di pintu gol.

Rentak konsisten tersebut diteruskan lagi di babak yang kedua, hasil jaringan kedua Selangor pada minit ke-53 oleh perancang tengah, Hugo Boumous yang melepaskan rembatan leret untuk skor 2-0.

Enggan mengalah, Sabah terus memperkemas jentera serangan dan berjaya menyumbang gol pertama pada minit ke-61 selepas umpanan Fadzrul Danel disudahkan cukup baik oleh Gonzalo di Renzo.

Kebangkitan akhirnya dijelmakan pasukan tuan rumah apabila kelincahan Fayadh Zulkifli berhasil mengucar-kacirkan barisan pertahanan Selangor sebelum menewaskan Sikh Izhan di minit ke-70.

Sungguhpun begitu, keceriaan kem Sabah tidak bertahan lama selepas gerakan bijak Kay Tejan disempurnakan dengan cukup cemerlang oleh Quentin Cheng selang dua minit setelah jaringan Sabah.

Aliff Izwan melengkapkan kemenangan bergaya Selangor dengan gol keempat di minit ke-88 setelah menyambar bola muntah dari penjaga gawang Sabah, Juan Flere.

Pertemuan 90 minit di Stadium Likas berakhir dengan keputusan 4-2 memihak Selangor, sekali gus meletakkan Gergasi Merah kini di tangga teratas carta Liga Super.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...