Liga Super

Nafuzi Zain Lega Dua Penyerang Berbisa Kembali Cergas

Web 20261128 074321 0000 Nafuzi Zain Lega Dua Penyerang Berbisa Kembali Cergas
Terengganu FC

Terengganu FC (TFC) menerima perkhabaran positif menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila dua tonggak serangan, Romel Morales dan Gervane Kastaneer kembali disenaraikan dalam skuad bagi aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang Sabtu.

Advertisement

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain menyifatkan kepulangan kedua-dua pemain itu sebagai perkembangan positif buat pasukan selepas mereka terlepas aksi terdahulu susulan menjalani penggantungan satu perlawanan.

Menurutnya, kehadiran Morales dan Kastaneer bukan sahaja menambah pilihan di bahagian serangan, malah mampu meningkatkan kekuatan jentera hadapan dalam misi memburu tiga mata.

Bagaimanapun, persiapan TFC sedikit terganggu akibat keadaan cuaca yang tidak menentu, khususnya hujan yang kerap melanda pada sebelah petang. Namun, barisan kejurulatihan sudah mengambil inisiatif dengan menyusun semula jadual latihan lebih awal serta memanfaatkan kemudahan padang sintetik.

“Kita cuba mencari masa dan lokasi yang sesuai untuk latihan. Walaupun hujan sedikit mengganggu, setakat ini persiapan pasukan berjalan dengan baik,” katanya.

Dalam masa sama, Nafuzi turut mengakui bahawa kelemahan penyudah dan ketidakstabilan benteng pertahanan masih menjadi perkara utama yang perlu diberikan perhatian sekiranya TFC mahu kembali meraih keputusan positif.

Jelasnya, pasukan bukan sahaja perlu lebih klinikal di hadapan gawang, malah perlu mengurangkan kesilapan individu yang boleh membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan.

“Kita perlu menjaringkan gol dan pada masa sama mengelakkan daripada dibolosi. Kesilapan sendiri perlu dikurangkan kerana lawan akan mengambil kesempatan,” katanya.

Untuk rekod, TFC ketika ini berada di tangga kedua tercorot Liga Super dengan hanya mengumpul lima mata daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...