DPMM FC merekodkan kemenangan terbesar mereka sejak menyertai Liga Super dengan membelasah Kelantan Red Warrior FC (Kelantan RW FC) di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Selepas menewaskan Sabah FC, Kelantan RW berharap dapat meneruskan rentak cemerlang di Bandar Seri Begawan. Meskipun begitu, tuan rumah juga membawa misi sama dan telah merekodkan empat kemenangan dalam empat aksi terakhir liga.
Kelantan RW mencipta kejutan dengan hanya membawa 15 orang pemain untuk aksi ini. Pasukan itu juga tidak membawa dua tonggak import mereka, Emmanuel Mbarga dan Philip Dandada Musa.
Tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi penyerang Australia, Jordan Murray. Lima minit selepas itu, penyokong DPMM makin ceria apabila kapten, Azwan Ali Rahman meledakkan gol jarak jauh dari luar kotak penalti.
DPMM dianugerahkan sepakan penalti apabila VAR mengesan Iskandar Shah Jamil sengaja menampan percubaan Hakeme Yazid Said dengan tangan. Iskandar Shah kemudiannya diarah keluar padang dengan Hakeme tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-32.
Kelantan RW makin derita apabila penjaring terbanyak DPMM dalam liga, Dalberto Luan Belo meledakkan gol keempat pada minit ke-36. Keputusan 4-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, DPMM makin ghairah memburu gol. Dalberto sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-47.
DPMM berusaha mencari gol tambahan. Walau bagaimanapun, anak buah Irfan Bakti Abu Salim bekerja keras bagi memastikan keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan DPMM memintas Kuching City di tangga ketiga liga dengan 18 mata. Selepas ini, DPMM akan menentang Selangor pada 5 Disember ini.
Kelantan RW pula berharap dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) apabila menentang Negeri Sembilan FC pada 4 Disember.


