Pengurus Manchester United, Michael Carrick mendedahkan anak buahnya menunjukkan keazaman untuk menamatkan prestasi buruk yang menyelubungi pasukan itu.
Prestasi tidak menentu United sejak kebelakangan ini bukan saja menyebabkan kelab itu semakin menghampiri zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Malah, hal ini juga menyebabkan kedudukan Carrick dalam bahaya. Ini ditambah dengan kekalahan terbaru United di tangan Bournemouth.
Barisan eksekutif United mengadakan mesyuarat selama dua hari bagi menentukan sama ada mahu memecat Carrick dan membawa jurulatih baharu atau tidak.
Selepas dua hari, United memutuskan untuk mengekalkan beliau untuk memberinya peluang membantu pasukan itu bangkit semula.
Susulan itu, Carrick memaklumkan barisan anak buahnya cukup bersemangat untuk menamatkan prestasi buruk United.
“Saya sudah bercakap dengan para pemain dan saya boleh katakan, mereka cukup bersemangat.
“Kami terluka kerana kami tidak memenangi perlawanan bola sepak yang cukup. Tapi pada masa sama wujud intensiti, kekecewaan dan keazaman untuk tampil lebih baik,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
United berharap dapat menamatkan prestasi buruk mereka bila berdepan pasukan gergasi London, Chelsea.
Seperti United, The Blues juga berdepan prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini. Terbaru, mereka tersingkir daripada Piala EFL selepas tewas kepada Liverpool menerusi penentuan penalti.


