Bekas pemain tengah kebangsaan, Lee Tuck merasa terkejut apabila melihat pemain sayap DPMM FC, Hakeme Yazid Said gagal menjaringkan gol ketika menentang Kelantan Red Warrior FC (Kelantan RW FC) baru-baru ini.
Insiden itu berlaku pada separuh masa kedua perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Selepas meraih gol menerusi penalti pada separuh masa pertama, Hakeme Yazid menyangka dapat menambah koleksi golnya.
Selepas berjaya melepasi cabaran penjaga gol Kelantan RW, Wan Muhammad Harif Wan Hazli, gawang dilihat sudah terbuka buat pemain Brunei itu. Malangnya, percubaan Hakeme Yazid hanya mengenai bahagian tepi gol.
Video insiden tersebut disiarkan di semua platform rasmi Astro Arena. Sebaik melihat insiden berkenaan, Tuck hanya meninggalkan simbol orang terkejut di ruang komen video berkenaan.
Pengulas perlawanan, Izwan Mohd Nor menyifatkan insiden itu berpotensi sebagai kegagalan menjaringkan bola paling teruk dalam Liga Super musim ini.
Insiden itu tidak menghalang DPMM meraikan kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan RW. Selain Hakeme Yazid, Dalberto Luan Belo, Jordan Murray dan kapten, Azwan Ali Rahman turut mencetak nama sebagai penjaring.

