Perpisahan Besar Di Malaysia Temui Pegganti
MakanBola
FA Malaysia

Perpisahan besar di Malaysia akhirnya berjaya diganti dengan segera.

Hal ini selepas skuad futsal Harimau Malaya kehilangan ketua jurulatih, Rakphol Sianetngam yang memilih untuk tidak menyambung kontraknya.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa hari ini, 31 Disember 2025 adalah hari terakhir jurulatih dari Thailand, Rakphol Sainetngam berkhidmat sebagai ketua jurulatih futsal kebangsaan selepas tempoh lebih dua tahun beliau dilantik ke jawatan itu sejak Ogos 2023.

“Beliau terpaksa meninggalkan skuad futsal Harimau Malaya untuk kembali ke negara asalnya, Thailand kerana menerima tawaran di sana,” ujar kenyataan FAM.

FAM bagaimanapun membuat keputusan pantas selepas mengumumkan bahawa penolong ketua jurulatih, Addie Azwan kini bergelar ketua jurulatih skuad futsal Harimau Malaya.

“FAM hari ini mengumumkan bahawa legenda futsal negara, Addie Azwan Zainal secara rasminya dilantik sebagai ketua jurulatih futsal kebangsaan yang baharu bagi menggantikan Rakphol Sainetngam.

“Addie Azwan yang akan genap berusia 46 tahun pada 18 Jun 2026 merupakan penolong ketua jurulatih futsal kebangsaan sejak Rakphol membimbing skuad futsal Harimau Malaya bermula pada Ogos 2023,” tambah kenyataan FAM.

Ujian sulung Addie Azwan selaku ketua jurulatih futsal Harimau Malaya adalah pada Piala Asia Futsal 2026, Malaysia akan berdepan Iran pada 28 Januari, Afghanistan pada 30 Januari dan Arab Saudi pada 1 Februari 2026 bagi tiga aksi Kumpulan D.

Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke suku akhir pada 3 Februari, seterusnya separuh akhir pada 5 Februari dan final pada 7 Februari 2026.