Penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad mempunyai pandangan yang positif tentang perebutan posisi penyerang utama negara bagi kejohanan Pestabola Merdeka kelak.
4 pemain serangan bakal memperkuatkan jentera serangan Malaysia bagi aksi menentang Filipina kelak iaitu Paulo Josue, Haqimi Azim, Romela Morales dan juga Syafiq Ahmad.
Syafiq meraikan persaingan yang sihat dalam merebut posisi penyerang utama selain mengakui perkara tersebut bagus untuk pasukan Malaysia.
“Bagi saya persaingan yang sihat ini baik untuk pasukan dalam menaikkan tahap kualiti pasukan Malaysia. Sesiapa yang ada di posisi tersebut, masing-masing perlu buktikan bahawa kita laya berada di kem kebangsaan.
“Saya berharap rakan-rakan pasukan dapat menyesuaikan diri dengan cepat untuk memenuhi tuntutan jurulatih.” ujar Syafiq Ahmad.
Syafiq Ahmad kini merekodkan dua jaringan dalam tujuh penampilan Liga Super bersama Kedah Darul Aman.
Penyerang berusia 29 tahun itu turut teruja dengan kehadiran Faisal Halim yang hadir memberikan semangat kepada rakan-rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan.
“Kehadiran Faisal Halim membuktikan yang beliau bersemangat untuk pasukan Malaysia dan saya berharap dia akan cepat kembali bersama pasukan.” tambah Syafiq.
Malaysia bakal melawan cabaran Filipina manakala Lubnan akan menentang Tajikistan pada 4 September ini bagi aksi yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.