Kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung mengharapkan jurulatih baru mereka, Bojan Hodak dapat menggunakan magisnya bagi merealisasikan sasaran musim ini.
Pengurusan Maung Bandung menetapkan sasaran empat kedudukan teratas dalam liga untuk saingan liga musim ini.
Ini bermakna Hodak perlu mengulangi pencapaian jurulatih sebelumnya, Luis Milla yang meraih tempat ketiga Liga 1 Indonesia untuk Pangeran Biru musim lepas.
Timbalan CEO PT PERSIB Bandung Bermartabat, Teddy Tjahjono melihat sasaran yang ditetapkan ini bukan sesuatu yang mustahil dengan mengambil kira pencapaian bekas jurulatih KL City FC itu.
“Kita berharap, bersama pelatih baru ini, PERSIB bisa bangkit untuk memburu target awal kita yaitu posisi 4 Besar,” katanya dalam satu kenyataan rasmi kelab hari ini.
Ketika ini, Maung Bandung menduduki tangga ke-16 liga selepas kalah sekali dan seri tiga kali. Disebabkan permulaan buruk Persib musim ini, Milla disingkirkan oleh pihak pengurusan selepas tiga perlawanan.
Hodak pernah menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan FC (2012) dan KL City FC (2021). Beliau juga turut membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) FC menjulang Liga Super pada 2014.