Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski dilaporkan menarik minat sebuah kelab yang beraksi di England.
Khabar angin tersebut menjadi perhatian setelah wakil media di England mula mengaitkan nama Peter Cklamovski sebagai salah satu calon untuk melatih Salford City yang dimiliki oleh David Beckham dan Gary Neville.
Wartawan berita terkenal UK, The Telegraph iaitu Mike McGrath mula melaporkan Peter Cklamovski dilihat sebagai antara calon bagi mengisi kerusi sebagai pengurus kelab Salford City yang bersaing di Divisyen 4 England.
“Ketua jurulatih Malaysia, Peter Cklamovski, muncul sebagai calon mengejut untuk mengisi jawatan pengurus Salford City,” lapor Mike McGrath di laman X.
“Jurulatih kelahiran Australia berusia 47 tahun itu pernah berkhidmat di Jepun dan merupakan bekas penolong kepada Ange Postecoglou ketika bersama Yokohama F. Marinos,” tambahnya lagi.
Laporan itu mula tular dan dipetik oleh laman terkemuka seperti Talksport, malah laman sesawang Salford City turut memuat naik berita tersebut dengan melihat jurulatih negara itu berpotensi untuk mengikuti jejak senior beliau, Ange Postecoglou ke England.
”Peter Cklamovski kini berpotensi mengikuti jejak Postecoglou ke England apabila dikaitkan untuk mengambil alih kelab League Two, Salford City,” lapor Talksport.
Pada musim lalu, kelab Salford City terlepas peluang untuk naik ke saingan League One selepas tewas kepada Notts County dalam perlawanan play-off, dan bakal mengharungi satu lagi musim di saingan Divisyen 4, League Two.
Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama nama Peter Cklamovski dikaitkan ke pasukan lain, oleh kerana bekas jurulatih FC Tokyo itu pernah menarik minat kelab-kelab dari China serta Jepun sebelum ini untuk mendapatkan khidmatnya.