Pengendali skuad senior Malaysia, Peter Cklamovski mengakui kualiti penyudah menjadi pemisah antara pasukan itu dan lawan mereka, Vietnam.
Aksi terakhir Kumpulan F yang berlangsung di Stadium Thien Truong menyaksikan Pahlawan Bintang Emas meraih kemenangan 3-1.
Do Duy Manh dan Nguyen Xuan Son masing-masing mencetak nama sebagai penjaring buat Vietnam dalam perlawanan itu.
Meskipun memiliki beberapa peluang, Malaysia hanya meraih gol saguhati menerusi penalti Endrick dos Santos.
Cklamovski mengakui penyudah klinikal yang dimiliki Vietnam menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan sepanjang perlawanan.
“Pada babak pertama, pemain kita memberi maklum balas yang bagus selepas dibolosi gol itu. Kita mencipta banyak detik bagus menjaringkan gol.
“Detik-detik di mana jika kita menjaringkan gol, kita menjadikan keputusan 1-1 dan itu detik yang boleh mengubah permainan.
“Kredit harus diberi kepada Vietnam, mereka memanfaatkan peluang mereka. Kita ada empat atau lima peluang menjaringkan gol (tetapi gagal memanfaatkannya). Ini antara perkara yang mengubah permainan,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia kempunan mengakhiri kemarau kemenangan di bumi Vietnam sejak tahun 2014.
Vietnam pula layak ke Piala Asia 2027 bukan saja sebagai juara Kumpulan F. Malah, pasukan itu mara dengan rekod kemenangan 100%.