Malaysia mempunyai potensi besar dalam bola sepak, ujar Peter Cklamovski.
Pada Khamis, 18 Jun 2026, Malaysia dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan Peter Cklamovski sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya.
Peter, yang mula membimbing skuad kebangsaan pada 1 Januari 2025 hingga 18 Jun 2026, berjaya melakar beberapa pencapaian membanggakan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Antara rekod paling signifikan yang dicatatkan ialah kemenangan ke atas Vietnam buat kali pertama selepas 11 tahun apabila Harimau Malaya menewaskan lawan itu 4-0 pada 10 Jun 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia meraih kemenangan bergaya hasil jaringan João Figueiredo, Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools.
Menurut Peter, Malaysia memiliki potensi yang amat besar untuk terus memajukan sukan bola sepak, khususnya melalui sokongan padu penyokong serta bakat yang dimiliki para pemain tempatan.
“Bola sepak Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar. Semangat penyokong, bakat para pemain dan kecintaan terhadap sukan ini di negara ini merupakan aset yang perlu sentiasa dipelihara dan dihargai.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya, selain menzahirkan harapan agar bola sepak negara terus mencapai kejayaan pada masa hadapan.
“Terima kasih atas segala kenangan, sokongan dan peluang yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat.”
“Saya meninggalkan pasukan ini dengan doa dan harapan agar bola sepak Malaysia terus melakar kejayaan pada masa hadapan. Terima kasih, Malaysia,” kata Peter Cklamovski dalam kenyataan media yang dikeluarkan sempena pengumuman peletakan jawatannya sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya.
Kedudukan Cklamovski mula menjadi tumpuan apabila namanya dikaitkan dengan kelab divisyen keempat England (Liga Dua), Salford City.
Jawatan jurulatih pasukan itu kosong selepas kelab yang dimiliki dua legenda Manchester United, David Beckham dan Gary Neville itu memilih memecat jurulatih sebelumnya, Karl Robinson.