Jurulatih Australia, Peter Cklamovski sah tidak lagi memimpin skuad Harimau Malaya.
Keputusan Cklamovski meninggalkan Harimau Malaya diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan di semua platform media sosial rasmi.
FAM memaklumkan keputusan penamatan kontrak oleh badan induk itu dan Cklamovski dibuat atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak.
Selain beliau, FAM turut mengumumkan keputusan penamatan kontrak turut dicapai dengan dua staf skuad kebangsaan, Matthew Smith dan Seiya Imazaki.
Cklamovski dilantik sebagai jurulatih skuad senior kebangsaan pada Januari 2025 menggantikan jurulatih sebelumnya, Pau Marti Vicente.
Bekas jurulatih FC Tokyo itu dibawa masuk untuk membantu kempen kelayakan Harimau Malaya ke Piala Asia 2027. Meskipun begitu, misi tersebut gagal direalisasikan dengan Malaysia terlepas peluang layak.
Kedudukan Cklamovski mula menjadi tumpuan apabila namanya dikaitkan dengan kelab divisyen keempat England (Liga Dua), Salford City.
Jawatan jurulatih pasukan itu kosong selepas kelab yang dimiliki dua legenda Manchester United, David Beckham dan Gary Neville itu memilih memecat jurulatih sebelumnya, Karl Robinson.
Ini selepas Robinson gagal mengemudi pasukan itu layak ke divisyen tiga England (Liga Satu). Salford tewas 3-0 di tangan Notts County dalam aksi playoff baru-baru ini.
Cklamovski bukan satu-satunya figura yang mengucapkan selamat tinggal kepada Harimau Malaya. FAM turut memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.
Kem Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) pula menyaksikan jurulatih, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin turut ditamatkan atas persetujuan bersama. Kesemua keputusan penamatan kontrak dicapai pada 15 dan 16 Jun lalu.