Dua pemain bertaraf elit difahamkan sudah pun mendapat lampu hijau untuk memperkuat Harimau Malaya.
Perkara ini disahkan oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Peter Cklamovski yang kini berada di kem latihan pusat negara bermula Isnin, 23 Mac lalu.
Malaysia dalam persiapan bagi perlawanan terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac 2026 di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh.
Harimau Malaya kini berpeluang untuk menamatkan saingan pada kedudukan kedua kumpulan, setelah ditolak enam mata susulan penurunan pemain tidak sah pada dua aksi menentang Vietnam dan Nepal.
Perkongsian Cklamovski kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memberi bayangan bahawa dua pemain Liga Super Malaysia, Bergson da Silva dan Giancarlo Gallifuoco berpotensi memperkuat Harimau Malaya tidak lama lagi.
“Mereka boleh beraksi pada kem akan datang,” ujar Cklamovski.
Bergson, 35, merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super Malaysia dan kini sudah pun meledak 31 gol secara keseluruhan dalam semua kejohanan.
Gallifuoco pula merupakan tunjang utama bahaguan pertahanan KL City FC sejak lima musim lalu dan menjadi antara tulang belakang prestasi cemerlang pasukan Lembah Klang itu tahun ini.
Sekiranya menjadi kenyataan, dua pemain ini berpotensi beraksi buat Malaysia seawal aksi ASEAN Hyundai Cup 2025 pada bulan Julai nanti.