Indonesia menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri bagi membenam cabaran Kemboja dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala AFF 2022 hari ini.
Sebaik sepak mula, Tim Garuda mula mengasak skuad Pahlawan Angkor. Dan mereka hampir mendahului menerusi Witan Sulaeman selepas menerima hantaran tandukan Muhammad Rafli seawal minit kedua. Bagaimanapun, Kemboja bernasib apabila gol tersebut dibatalkan selepas Witan dan Rafli berada pada kedudukan ofsaid.
Tetapi gawang Pahlawan Angkor yang dikawal penjaga gol Keo Soksela bolos juga pada minit ketujuh menerusi Egy Maulana Vikri. Walaupun kotak penalti Kemboja dipenuhi pemain-pemain mereka, itu langsung tidak menghalang bekas pemain FK Senica itu menanduk masuk hantaran Pratama Arhan melepasi Soksela.
Dalam tempoh seminit pada minit ke-14, kedua-dua pasukan mempunyai percubaan ke arah gol. Pertama, menerusi Witan apabila rembatan derasnya terkena palang. Kedua, menerusi percubaan penyerang muda Sieng Chantea tetapi rembatannya berjaya ditepis penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata.
Bagaimanapun, Kemboja berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Kriya Sareth. Sepakan sudut pendek yang diambil Seut Baraing dan Lim Pisoth kemudiannya dihantar Baraing ke dalam kotak penalti Tim Garuda. Walaupun cuba dihalang barisan pertahanan Indonesia, tandukan Kraseth terkena tiang sebelum melepasi garisan gol.
Tersentak, Indonesia mula menggandakan asakan bagi mencari gol kedua. Pemain tengah kelahiran Belanda, Marc Klok berpeluang menyumbat gol kedua untuk Merah Putih pada minit ke-27 menerusi satu sepakan percuma. Bagaimanapun, sepakan percuma bekas pemain tengah Ross County itu hanya terkena bahagian tepi jaring.
Asakan bertubi-tubi Indonesia akhirnya membuahkan hasil menerusi gol Witan pada minit ke-35. Bermula dari hantaran Ricky Kambuaya, Marcelino Ferdinan kemudiannya melarikan bola dari sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Witan. Pemain AS Trencin itu mudah merembat ke penjuru atas gawang bagi meletakkan Tim Garuda kembali di hadapan.
Indonesia hampir menambah gol ketiga apabila bek tengah JDT, Jordi Amat membuat satu hantaran jauh kepada Witan seminit selepas itu. Bagaimanapun, sepakan lencongnya ke arah gawang Pahlawan Angkor mudah dibaca Soksela sebelum bola ditangkap kemas.
Amat sekali lagi mencetuskan huru-hara dalam kalangan pertahanan Kemboja apabila bola hantarannya berjaya disambar Egy Maulana pada minit ke-38. Egy yang berjaya melepasi perangkap ofsaid segera melarikan bola ke arah kotak penalti Pahlawan Angkor. Tetapi kegopohannya mengawal bola memastikan Soksela menerjah bola sebelum ia dikeluarkan pemain-pemain pertahanan Kemboja. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, Indonesia terus memburu gol ketiga bagi menjadikan kedudukan mereka lebih selesa. Dan mereka hampir mendapatkannya pada minit ke-49 selepas kesilapan pemain Kemboja mengawal bola berjaya dirampas Witan sebelum melarikan bola ke arah gol lawan. Walaupun cuba disekat Soksela, sepakannya tersasar dan terus ke tepi gawang.
Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong memasukkan Ilija Spasojevic dan bekas pemain import Sabah, Saddil Ramdani bagi menajamkan bahagian serangan Tim Garuda. Tetapi Pahlawan Angkor hampir menyamakan kedudukan buat kali kedua menerusi Reung Bunheing pada minit ke-57. Bagaimanapun, percubaan solonya itu berjaya disekat Argawinata.
Tim Garuda sekali lagi mensia-siakan peluang menambah gol ketiga pada minit ke-64. Kombinasi Witan dan Spasojevic bertukar hantaran sesama mereka sebelum pemain AS Trencin itu melorongkan bola kepada Saddil. Tetapi penyokong Indonesia kecewa percubaan dari luar kotak penaltinya langsung tidak mengenai sasaran.
Dengan barisan serangan Indonesia terus buntu mencari gol ketiga dan Witan pula mengalami kecederaan, Tae-yong memasukkan Dendy Sulistyawan menggantikan pemain AS Trencin itu. Dan Sulistyawan hampir menambah gol ketiga menerusi sentuhan pertamanya pada minit ke-82 tetapi berjaya dinafikan Soksela. Sepakan sudut susulan yang diambil Klok turut berjaya dikeluarkan.
Apabila perlawanan memasuki masa tambahan, Kemboja mula melakukan terjahan keras ke atas pemain-pemain Indonesia bagi menyekat kemaraan Tim Garuda. Indonesia terus memburu gol ketiga dan hampir melakukannya menerusi Spasojevic dan pemain gantian Edo Febriansyah tetapi berjaya disekat pertahanan Kemboja. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan kemenangan ini, Indonesia menduduki tangga ketiga Kumpulan A di belakang Filipina. Tim Garuda bakal berdepan Brunei di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 26 Disember. Manakala Kemboja bakal berdepan lawan sama di Stadium Nasional Morodok Techo pada 29 Disember.