Piala AFF
Antara/Akbar Nugroho Numay
Advertisements

Vietnam bakal mengharap sokongan padu penyokong mereka dalam aksi kedua separuh akhir Piala AFF 2022. Ini selepas Pahlawan Bintang Emas diikat tanpa jaringan dengan Indonesia pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Gelora Bung Karno.

Sebaik sepak mula, Indonesia yang mendapat sokongan penyokong setia mereka terus mengasak kubu pertahanan Vietnam. Tetapi Vietnam yang dibimbing Park Hang-seo kental menyerap asakan Tim Garuda.

Indonesia hampir berada di depan menerusi percubaan jarak jauh Yakub Sayuri pada minit ke-36. Tetapi percubaan dari luar kotak penalti pemain sayap PSM Makassar itu tidak menepati sasaran. Kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Tim Garuda terus menggandakan asakan bagi mencari gol pertama. Tetapi jentera serangan Indonesia yang diketuai Dendy Sulistyawan terus tumpul dalam menembusi gawang Vietnam yang dikawal Dang Van Lam.

Suasana panas seketika apabila Doan Van Hau membuat terjahan dua kaki ke atas Dendy pada minit ke-54. Ini mengakibatkan pemain-pemain kedua-dua pasukan bersemuka tetapi berjaya ditenangkan oleh pengadil. Bagaimanapun, kekasaran bek kiri Vietnam itu tidak dihukum dengan layangan kad.

Indonesia Vietnam Piala AFF 2022 Antara Akbar Nugroho Numay Piala AFF: Indonesia Ikat Vietnam Tanpa Jaringan
Terjahan keras Doan Van Hau mengundang kemarahan pasukan Indonesia. Gambar: Antara/Akbar Nugroho Numay

Dengan perlawanan memasuki 10 minit terakhir, Tim Garuda memasukkan Ricky Kambuaya menggantikan Rachmat Irianto bagi menambah kreativiti di bahagian tengah. Tetapi Naga Emas seakan mengagak perlawanan bakal berakhir dengan keputusan seri dan terus selesa menyerap tekanan anak-anak buah Shin Tae-yong.

Advertisements

Indonesia menyangka mendapat sepakan penalti pada minit ke-89 apabila Yakub dijatuhkan dalam kotak penalti Vietnam. Namun begitu, pengadil tidak mengendahkan insiden tersebut dan meneruskan permainan.

Dengan perlawanan memasuki minit-minit terakhir, Tae-yong memasukkan Ilija Spasojevich, Saddil Ramdani dan Witan Sulaeman untuk menambah sengat Tim Garuda. Tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Indonesia bakal berdepan tugas sukar mengatasi Vietnam dalam aksi kedua separuh akhir di Stadium Nasional My Dinh pada 9 Januari ini. Vietnam pula pastinya mahu mengelak tersingkir di peringkat separuh akhir seperti dialami pada edisi 2020.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram