Advertisements
Piala AFF: Maung Lwin Wira Myanmar Ikat Laos
Piala AFF
MakanBola
Myanmar Football Federation

Maung Maung Lwin menjadi wira Myanmar apabila golnya pada minit ke-96 berjaya mengikat Laos pada aksi keempat Kumpulan B Piala AFF 2022.

Sebaik sepak mula, Myanmar melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas pasukan pelawat. Tetapi pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi Sukaphon Vongchiekam. Vongchiekam mudah menolak masuk hantaran Phoutthavong Sangvilay menewaskan penjaga gol Tun Nanda Oo.

Tetapi skuad Gajah Putih terkejut beruk apabila gawang mereka dibolosi tuan rumah untuk gol penyamaan pada minit ke-15. Sepakan percuma yang diambil Myat Kaung Khant berjaya ditanduk ke arah Kyaw Min Oo sebelum dia menanduk melepasi penjaga gol Laos, Xaysavanth Souvahnasok.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada Myanmar memburu gol kedua. Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan yang diketuai Aung Kaung Mann mengecewakan penyokong di Stadium Thuwunna, Yangon.

Hal ini tidak dibantu dengan situasi Maung Lwin dilayangkan kad kuning semasa perlawanan. Ini mengakibatkan dia tidak dapat diturunkan untuk aksi terakhir Kumpulan B Myanmar menentang Vietnam pada 3 Januari 2023.

Ini memberi keyakinan kepada skuad Sejuta Gajah yang dibimbing Michael Weiss mencuri peluang serangan balas. Dan mereka hampir melakukannya pada minit ke-43 apabila Chony Waenpaseuth membuat satu hantaran ke arah Vongchiekam tetapi sepakannya tidak mengenai sasaran. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Laos kembali mendahului pada minit ke-46 menerusi sepakan dari luar kotak penalti Ekkamai Ratxachak. Tersentak, Myanmar melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Laos.

Dan peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-55 menerusi Maung Lwin. Penyerang Lamphun Warriors itu melepaskan rembatan tepat ke penjuru atas gawang tetapi berjaya dinafikan oleh Souvahnasok.

Pada minit ke-78, Laos menafikan dua percubaan skuad Chinthe dalam tempoh seminit. Pemain sayap Selangor Hein Htet Aung menyepak bola ke arah gawang Laos tetapi terpantul pemain pertahanan Laos sebelum rembatan seterusnya oleh Lin Htet Soe berjaya ditangkap Souvahnasok.

Myanmar terus mengasak pertahanan Laos tetapi pertahanan Gajah Putih terus kental bertahan. Tetapi akhirnya pada minit ke-96, gawang Laos bocor juga menerusi Maung Lwin. Itu juga merupakan gol ketiganya dalam kejohanan.

Walaupun meraih satu mata di gelanggang sendiri, ia sekurang-kurangnya menaikkan moral anak-anak buah Antoine Hey menjelang aksi terakhir Kumpulan B pada 3 Januari. Tanpa Maung Lwin yang digantung perlawanan dan bermain di Stadium Nasional My Dinh, Myanmar bakal berdepan tugas sukar menyekat Vietnam.