Piala AFF: Thailand Tundukkan Kemboja, Mara Ke Separuh Akhir
Piala AFF
Thai League Central
Advertisements

Thailand muncul juara Kumpulan A sekaligus mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF. Ini selepas skuad Gajah Perang bimbingan Mano Polking terpaksa bekerja keras menewaskan Kemboja dalam aksi terakhir Kumpulan A.

Sebaik sepak mula, Thailand yang mendapat sokongan padu penyokong di Stadium Thammasat, Pathum Thani melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Kemboja. Bagaimanapun, ia mudah diserap oleh anak-anak buah Ryu Hirose.

Kemboja yang berdisiplin mengawal pertahanan mereka sekali-sekala melancarkan serangan ke atas Gajah Perang. Dan mereka hampir memecah kebuntuan menerusi Lim Pisoth pada minit ke-35 tetapi sepakannya berjaya dinafikan penjaga gol tuan rumah, Kittipong Phuthawchueak.

Advertisements

Beberapa minit selepas itu, Thailand terus cemas menerusi percubaan Sieng Chanthea. Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila sepakan penyerang Boeung Ket itu melepasi palang gol.

Sebelum separuh masa pertama berakhir, Thailand dianugerahkan sepakan penalti apabila pemain Thailand didakwa ditolak dalam kotak penalti. Penjaring gol terbanyak Piala AFF Thailand, Teerasil Dangda tenang menyempurnakan penalti menewaskan penjaga gol Pahlawan Angkor, Keo Soksela. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, pasukan tuan rumah terus mencari gol kedua bagi memastikan kedudukan mereka sebagai pendahulu Kumpulan A. Itu berjaya direalisasikan menerusi tolakan pemain tengah veteran Sumanya Purisai pada minit ke-50. Sentuhan pertama Sarach Yooyen berjaya dilarikan Sumanya sebelum menolak bola melepasi Soksela untuk gol kedua tuan rumah.

Advertisements

Gol tersebut menambah keyakinan anak-anak buah Polking untuk berpesta gol di hadapan para penyokong mereka. Beberapa minit selepas itu, giliran Channarong Promsrikaew merembat ke arah gol Soksela tetapi sepakannya tersasar.

Teerasil menyangka telah meledakkan gol keduanya dalam perlawanan ini pada minit ke-64. Bagaimanapun, rembatan kencang penyerang BG Pathum United itu mengenai palang sebelum berjaya ditangkap Soksela.

Tindakan pertahanan Thailand melakukan beberapa kesilapan mengakibatkan mereka dihukum pasukan pelawat. Pemain gantian Sa Ty menggelecek dua pemain Thailand sebelum melorongkan bola kepada Chanthea yang menewaskan Kittipong pada minit ke-68.

Advertisements

Gol tersebut meletakkan Indonesia seketika sebagai juara Kumpulan A. Ini mendorong Thailand memburu gol ketiga dan akhirnya berjaya menyumbat gol ketiga menerusi Teerasil. Penjaring terbanyak dalam sejarah Piala AFF itu melepaskan rembatan kencang menewaskan Soksela pada minit ke-90. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Thailand muncul juara Kumpulan A. Walaupun terikat 10 mata dengan Indonesia, skuad Gajah Perang mendahului Tim Garuda dari segi kelebihan jaringan. Sekarang, mereka menanti siapa lawan mereka dari Kumpulan B di peringkat separuh akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram