Vietnam memulakan cabaran Kumpulan A Piala AFF 2022 dengan bergaya selepas berjaya mengatasi cabaran Laos di Stadium Nasional Laos hari ini.
Sebaik sepak mula, Pahlawan Bintang Emas mula mengasak kubu pertahanan Laos. Ini mamaksa anak-anak buah Michael Weiss itu terpaksa bertahan menyerap asakan pasukan bimbingan Park Hang-seo itu.
Bagaimanapun, gawang yang dikawal Keo-Oudone Souvannasangso itu akhirnya bolos juga pada minit ke-15 menerusi Nguyen Tien Linh selepas menerima hantaran pemain sayap Phan Van Duc.
Skuad Gajah cuba bangkit tetapi hantaran-hantaran yang tidak tepat menggagalkan sebarang cubaan serangan balas. Vietnam terus ghairah memburu gol kedua dan mereka hampir berjaya melakukannya apabila bek kanan Ho Tan Tai membuat satu hantaran dari sebelah kanan pada minit ke-21. Namun begitu, Tien Linh kecewa apabila tandukannya ke arah gawang Laos sipi dan terkeluar ke tepi gawang.
Keghairahan Pahlawan Bintang Emas memburu gol hampir memakan diri apabila Sukaphon Vongchiengkam melakukan percubaan jarak jauh ke arah gawang mereka pada minit ke-33. Bagaimanapun, barisan bimbingan Hang-seo menghela nafas lega apabila percubaan penyerang Trat itu berjaya ditangkap kemas Dang Van Lam.
Skuad Gajah sekali lagi dibolosi menerusi kapten Do Hung Dung pada minit ke-43. Barisan pertahanan Laos berdepan kesukaran mengekang pemain gantian Nguyen Van Quyet. Walaupun dikepung beberapa pemain lawan, Van Quyet berjaya melorongkan bola kepada pemain tengah Hanoi FC itu sebelum melepaskan rembatan melepasi Souvannasangso. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, Vietnam terus menggandakan asakan bagi menjadikan kedudukan mereka lebih selesa. Dan mereka hampir menambah gol ketiga pada minit ke-51 menerusi percubaan jarak Van Quyet tetapi percubaannya terbang melepasi gawang. Beberapa minit selepas itu, Pahlawan Bintang Emas menambah gol ketiga menerusi Tan Tai yang mudah menolak hantaran tandukan Van Quyet menewaskan Souvannasangso.
Dua minit kemudian, Vietnam terus menambah gol keempat menerusi bek kiri Doan Van Hau. Selepas menerima satu hantaran jauh dari sebeleha kanan, bek kiri Hanoi FC itu melepaskan satu sepakan lencong yang gagal dijangkau penjaga gol Laos itu ke penjuru bawah gawang. Dengan kemenangan dalam genggaman, Hang-seo mengeluarkan beberapa pemain bagi merehatkan mereka termasuk Van Hau.
Vietnam hampir menambah gol kelima menerusi Nguyen Van Toan pada minit ke-80. Pham Tuan Hai menahan bola daripada dirampas pemain-pemain Laos sebelum membuat satu hantaran yang cuba disudahkan Van Toan tetapi sepakannya tersasar.
Tetapi kombinasi dua pemain ini berjaya juga menghasilkan gol kelima dua minit selepas itu menerusi sepakan Van Toan dari luar kotak penalti. Dan pada minit ke-91, Vu Van Thanh menambah derita Skuad Gajah menerusi gol keenam menewaskan Souvannasangso. Keputusan 6-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan kemenangan ini, Vietnam mengetuai Kumpulan A dengan Malaysia berada di tangga kedua. Pahlawan Bintang Emas seterusnya bakal berdepan skuad negara di Stadium Nasional My Dinh pada 27 Disember. Sementara Laos pula berdepan lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember.