Piala AFF: Vietnam, Singapura Kongsi Satu Mata
Piala AFF
FA Singapore
Advertisements

Singapura gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Jalan Besar apabila diikat Vietnam 0-0 pada aksi keempat Kumpulan B Piala AFF 2022.

Sebaik sepak mula, Vietnam menepati status sebagai pasukan pilihan dengan mengasak kubu pertahanan Singapura. Tetapi malangnya, minit-minit awal perlawanan menyaksikan mereka beberapa kali terkena perangkap ofsaid Singa Kallang.

Vietnam hampir mendahului menerusi Pham Tuan Hai pada minit ke-13 apabila penjaga gol Singapura, Hassan Sunny terlepas bola muntah. Bagaimanapun, sebelum sempat Tuan Hai merebut peluang menjaringkan gol, bola muntah tersebut berjaya dikeluarkan pertahanan Singapura.

Advertisements

Empat minit selepas itu, Nguyen Van Quyet berjaya melepasi terjahan Christopher van Huizen sebelum melepaskan rembatan lencong ke arah gol Singapura. Bagaimanapun, rembatan kencang penyerang Hanoi FC itu berjaya ditangkap kemas Hassan.

Vietnam terus mencemaskan pertahanan Singa Kallang menerusi percubaan Van Quyet pada minit ke-20. Pemain tengah Hanoi FC, Do Hung Dung menghantar satu hantaran kencang kepada bekas penyerang Viettel itu dalam kotak penalti. Walaupun berjaya mengatasi cabaran pertahanan Singapura, tandukan Van Quyet melepasi palang gol.

Advertisements

Penguasaan bola Vietnam di atas padang seakan sukar diatasi oleh pasukan tuan rumah. Dan mereka menghela nafas lega apabila percubaan jarak jauh Hung Dung tidak mengenai sasaran pada minit ke-23.

Singapura secara perlahan-lahan melancarkan serangan balas ke atas skuad Vietnam. Tetapi mereka menerima tamparan hebat apabila Ilhan Fandi terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan sebelum separuh masa pertama berakhir. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Singa Kallang memasukkan Song Ui-yong dan Shawal Anuar menggantikan Ilhan dan Faris Ramli. Manakala Pahlawan Bintang Emas pula memasukkan Nguyen Quang Hai dan Van Duc Phan menggantikan Do Hung Dung dan Chau Ngoc Quang.

Dengan Vietnam terus buntu mencari gol, jurulatih mereka Park Hang-seo membuat dua lagi pertukaran pada minit ke-58. Pahlawan Bintang Emas memasukkan Nguyen Tien Linh dan Nguyen Hoang Duc bagi menambah sengat di bahagian serangan.

Advertisements

Peluang terbaik Pahlawan Bintang Emas memecah kebuntuan ialah pada minit ke-74 menerusi Tien Linh. Selepas bertukar-tukar hantaran, bola sampai kepada Tien Linh tetapi sepakannya tidak mengenai sasaran.

Beberapa minit selepas itu, pertahanan Singapura semakin cemas apabila Tien Linh berjaya melorongkan bola kepada pemain sayap Vu Van Tanh. Van Tanh yang tak dikawal membuat satu hantaran lintang ke arah gol tetapi gagal dicapai mana-mana pemain sebelum dikeluarkan pertahanan Singapura.

Gawang Singapura hampir dibolosi menerusi percubaan jarak jauh Hoang Duc pada minit ke-83. Sepakan jarak jauhnya itu berjaya menewaskan Hassan tetapi bola terkena tiang. Pemain tengah Viettel itu terus hampa apabila percubaannya pada minit ke-85 melepasi palang gol. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Walaupun seri tanpa jaringan, itu sudah cukup membantu Singapura memotong Malaysia di tangga kedua dengan tujuh mata. Sementara Pahlawan Bintang Emas kekal sebagai pendahulu Kumpulan B dengan kelebihan jaringan.

Kini, usaha Singa Kallang untuk layak ke separuh akhir bakal ditentukan pada perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Malaysia pada 3 Januari. Singapura perlu seri atau menang ke atas Harimau Malaya untuk layak ke separuh akhir Piala AFF.

Manakala Vietnam pula perlu menewaskan Myanmar di gelanggang sendiri pada hari sama bukan saja untuk menjamin status sebagai juara kumpulan. Tetapi pada masa sama, mengelak daripada berjumpa juara Kumpulan A di peringkat separuh akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram