Pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman disenaraikan dalam kelompok pemain tumpuan menjelang Piala Asia yang bakal tiba seminggu dari sekarang.
Menerusi poster yang dimuatnaik oleh AFC Asian Cup di laman X, kelibat Arif Aiman dilihat mencuri tumpuan di samping bintang Korea Selatan, Son Heung-Min.
Arif juga dinilai sebagai pemain tumpuan bagi pasukan Malaysia bagi kempen Piala Asia ini oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di laman web rasmi mereka.
Tambahan pula, bekas jurulatih JDT, Esteban Solari juga percaya kemampuan pemain berusia 22 tahun itu mampu membuatkannya menjadi lebih baik.
“Saya percaya dia mempunyai semua alat untuk mencapai kehebatan,” kata Solari baru-baru ini kepada AFC.
“Dia mempunyai kebolehan untuk berkembang sebanyak yang dia mahu. Dia mempunyai watak yang hebat, bekerja keras, sentiasa mahu meningkat dan dia mempunyai keinginan untuk menjadi pemain yang lebih hebat dan masih bertambah baik.”
Selain Arif, kehadiran kapten Tottenham Hotspurs, Son Heung-min bersama Korea Selatan juga pasti menambah seri memandangkan mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan bagi kumpulan E ini.
Turut sama di dalam poster tersebut ialah penyerang Jordan, Musa Al Taamari dan Komail Al Aswad dari Bahrain yang bakal membawa cabaran negara masing-masing pada edisi kali ini.
Aksi pembuka tirai kumpulan E bakal menyaksikan Korea Selatan turun menentang Bahrain Stadium Jassim Bin Hamad terlebih dahulu manakala Malaysia berdepan Jordan di Stadium Al Janoub.