Salah sebuah portal di Amerika Syarikat (USA) telah meramalkan bahawa Malaysia memiliki 39 peratus peluang untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati Piala Asia 2023.
Skuad kendalian Kim Pan-gon mengharungi tempoh yang cukup cemerlang pada tahun 2023 selepas merekodkan hanya satu kekalahan di tangan Tajikistan pada aksi Pestabola Merdeka 2023.
Harimau Malaya juga berjaya menundukkan dua pasukan handalan di Kelayakan Piala Dunia 2026 iaitu Kyrgyzstan (4-3) dan juga Chinese Taipei (1-0) untuk menghuni tangga teratas kumpulan.
Pasukan negara ketika ini bakal mengharungi tempoh yang cukup mendebarkan selepas layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun tidak melakukannya.
Menerusi satu analisis oleh portal US iaitu We Global Football, laman ini menyenaraikan peluang dan kemungkinan skuad negara mampu melangkah ke pusingan berikutnya adalah setinggi 39 peratus.
Malaysia berada dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan, Bahrain dan juga Jordan.
Portal itu turut meramalkan bahawa Harimau Malaya memiliki 24.3 peratus peluang untuk menewaskan Jordan, 32.2 peratus peluang mengalahkan pasukan ke-86 dunia, Bahrain dan hanya 9.2 peratus peluang untuk mengatasi Korea Selatan.
Laman ini meletakkan pasukan Jepun sebagai pilihan untuk menjuarai saingan Piala Asia di Qatar kali ini dengan 32.64 peratus diikuti oleh Iran (15.20 peratus), Australia (14.52 peratus) dan Korea Selatan (12.08 peratus).
Malaysia dijangka memiliki peluang sebesar 0.12 peratus untuk bergelar juara Piala Asia, 0.56 peratus untuk mara ke final, 3.58 peratus ke separuh akhir dan 11 peratus ke peringkat suku akhir.
Kisah kejayaan dan kebangkitan Harimau Malaya juga telah diceritakan di seluruh dunia tatkala laman FIFA dan Forbes turut mengagumi usaha yang dilakukan untuk mengangkat semula kegemilangan bola sepak Malaysia.
Malaysia bakal mengharungi satu aksi persahabatan sahaja berdepan pasukan ke-91 dunia, Syria pada 8 Januari 2024 sebelum memulakan aksi berdepan Jordan pada 16 Januari di Stadium Al-Janoub.