Salah sebuah laman terkemuka USA, Forbes berkongsikan kisah kejayaan Malaysia sejak berada di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Pengendali berusia 54 tahun itu mula mengambil alih pasukan pada tahun 2022 dan berjaya mentransformasikan bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik.
Harimau Malaya juga merekodkan 66 peratus kemenangan sejak beliau mengendalikan pasukan termasuklah layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun.
Bercakap kepada Forbes, Pan-gon berkongsikan kisahnya membimbing Malaysia dengan menerapka mentaliti kemenangan dan berdaya saing ketika bertemu lawan yang lebih hebat.
“Sejak mengambil alih pasukan kebangsaan Malaysia pada awal 2022, ketua jurulatih berusia 54 tahun itu berusaha untuk meyakinkan pemainnya bahawa mereka mempunyai keupayaan untuk bertahan secara agresif dan bermain secara proaktif.”
“Usaha sedemikian telah menyaksikan Malaysia mendaki ranking FIFA daripada 154 di dunia apabila Kim mengambil alih sehingga 130 sekarang.”
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu bagaimanapun menyedari bahawa skuad kebangsaan bukanlah pasukan pilihan di kejohanan tersebut.
“Tetapi mereka masih bukan pasukan pilihan dalam Kumpulan E yang mengandungi Jordan, Bahrain, dan tanah air Kim, Korea Selatan.”
Kim berkata bahawa tekanan akan diberikan kepada lawan Malaysia kerana mereka akan menjangkakan kemenangan sementara bagi Malaysia, keputusan seri adalah bagus.
“Jika Malaysia boleh mengekalkan permainan yang ketat, maka tekanan terhadap lawan mereka, yang “berfikir mereka perlu mengalahkan kami” akan meningkat dan Malaysia boleh menjaringkan gol,” ujarnya kepada Forbes.
Sehubungan itu, Kim berkata kem latihannya akan memberi lebih tumpuan kepada bahagian pertahanan permainan serta set piece.
Malaysia akan menghadapi aksi persahabatan berdepan Syria pada Januari 2024 sebelum memulakan aksi pertama peringkat kumpulan berdepan Jordan.