Johor Darul Ta’zim (JDT) IV dan Terengganu FC IV mengesahkan kemaraan ke pentas final Piala Belia 2024.
Ini selepas kedua-dua pasukan mara dengan menewaskan lawan masing-masing dengan keputusan agregat dalam separuh akhir kedua. JDT IV mara dengan mengalahkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 16 Tahun (B-16).
Anak buah Pedro Collada Celda meraih kemenangan 5-2 dari segi keputusan agregat. Ini selepas pasukan itu meraih kemenangan 2-1 ke atas AMD B-16 di Stadium Kulai.
Zamir Zaini dan Faris Danish Mohd Asrul mencetak nama sebagai penjaring skuad muda Harimau Selatan. Manakala Izzuddin Afif Nazarudin merekodkan gol ke-15 peribadi untuk tahun 2024.
Sementara itu, Terengganu IV berjaya mara ke final meskipun tewas 2-1 kepada Selangor FC dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua. Anak buah Khushairi Abdul Wahab perlu meraih tiga gol untuk mengatasi kelebihan agregat yang dimiliki skuad muda Penyu.
Penjaring terbanyak Piala Belia 2024, Hatif Irfan Che Hamizi dan Nabil Fitri Mustaffa menyumbat dua gol buat Merah Kuning.
Walau bagaimanapun, hajat tuan rumah untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan gagal apabila penjaring terbanyak Terengganu IV, Arsyad Shamsul Aswadi menyumbat gol tunggal pasukan itu.
Keputusan agregat 3-2 sudah cukup buat anak buah Wan Adremy Indera Wan Adnan mara ke final.
JDT IV dan Terengganu IV bakal berentap dalam aksi final dua pusingan. Final pertama berlangsung pada 16 November sebelum disusuli final kedua pada 23 November.