Piala Dunia
Ben Jacobs
Advertisements

Brazil menepati status mereka sebagai pasukan pilihan Piala Dunia 2022 selepas membelasah Korea Selatan 4-1 dalam aksi kalah mati di Stadium 974 hari ini.

Vinicius Jr Brazil Korea Selatan Piala Dunia 2022 CBS Sports Golazo Piala Dunia: Brazil Belasah Korea Selatan Untuk Mara Ke Suku Akhir
Vinicius Jr meraikan jaringan pertama Brazil dalam perlawanan pusingan kalah mati menentang Korea Selatan. Gambar: CBS Sports Golazo

Babak pertama menyaksikan Selecao membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi Vinicius Junior. Raphinha melarikan bola ke sebelah kiri pertahanan Pahlawan Taeguk sebelum menolak bola pantas ke dalam kotak penalti mereka. Walaupun percubaan Richarlison berjaya dihalang pertahanan Korea Selatan, Vinicius Junior yang tidak dikawal melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas gawang yang dikawal Kim Seung-gyu.

Neymar meraikan penalti yang meletakkan Brazil 2-0 di hadapan Korea Selatan. Gambar: Ben Jacobs

Beberapa minit selepas itu, Brazil dianugerahkan sepakan penalti selepas Richarlison dijatuhkan oleh pemain tengah Al-Sadd, Jung Woo-young. Bintang PSG, Neymar tenang menyepak leret bola menewaskan Seung-gyu pada minit ke-13 bagi meletakkan Brazil selesa di hadapan.

Advertisements

Tersentak, Korea Selatan cuba bangkit menerusi percubaan jarak jauh penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan pada minit ke-16. Bagaimanapun, percubaan tersebut berjaya dinafikan penjaga gol Liverpool, Alisson dengan sepakan sudut susulan Korea Selatan berjaya dikeluarkan pertahanan Brazil.

Selecao menambah derita Pahlawan Taeguk dengan gol ketiga menerusi Richarlison pada minit ke-29. Selepas berjaya mempertahankan bola daripada dirampas pemain Korea Selatan, penyerang Spurs itu bertukar hantaran sebelum pantas menyusup dalam kotak penalti dan mudah menewaskan Seung-gyu. Gol tersebut dikatakan calon gol terbaik Piala Dunia 2022 selain gol Vincent Aboubakar ke atas Brazil dalam perlawanan terakhir Kumpulan G.

Gawang Seung-gyu dibolosi lagi Selecao buat kali keempat pada minit ke-36 menerusi pemain tengah West Ham, Lucas Paqueta. Vinicius Junior kali ini berperanan sebagai pencipta jaringan dengan mengangkat bola ke arah Paqueta yang berlari menuju ke kotak penalti. Bekas pemain tengah Lyon itu mudah menewaskan Seung-gyu untuk gol keempat Selecao. Paqueta hampir menambah gol pada minit akhir babak pertama tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements
Paik Seung-ho meraikan jaringan saguhati pada minit ke-77. Gambar: beIN SPORTS.

Selepas rehat, Korea Selatan cuba merapatkan jurang menerusi penyerang Spurs, Son Heung-min pada minit ke-47. Bagaimanapun, percubaannya yang menuju penjuru jauh gawang Brazil dinafikan Alisson. Pahlawan Taeguk mengutip gol saguhati menerusi percubaan jarak jauh Paik Seung-ho pada minit ke-77.

Seung-gyu menunjukkan prestasi baik sebagai penjaga gol walaupun dibolosi empat kali. Tetapi penjaga gol Al-Shabab itu hampir mengulangi kesilapan Mat Ryan yang membawa kepada gol kedua Argentina. Gabriel Martinelli dan Richarlison memberi tekanan kepada Seung-gyu pada minit ke-86 semasa dia tergesa-gesa mengeluarkan bola tetapi bernasib baik apabila Rodrygo dikepung pemain Korea Selatan semasa cuba menolak bola ke dalam gawang.

Dengan kemenangan ini, Brazil bakal bertemu dengan Croatia di peringkat suku akhir. Keupayaan Selecao membenam lawan mereka pastinya merupakan amaran buat anak-anak buah Zlatko Dalic bahawa mereka perlu mencipta keajaiban ke atas Brazil jika mahu mara ke separuh akhir.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram