Bosnia menamatkan kempen Qatar di Piala Dunia FIFA dengan penuh garang dalam aksi terakhir kumpulan B pada awal pagi Khamis.
Setelah tumpas dalam aksi kedua minggu lalu, Bosnia dan Qatar kini turun membawa misi wajib menang bagi menghidupkan laluan mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia dengan tekanan memuncak terletak di bahu negara Asia itu.
Hasrat besar Qatar tersebut bagaimanapun tidak kesampaian apabila Bosnia berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan B sekali gus mengakhiri perjuangan juara Piala Asia 2023 di tangga tercorot kumpulan.
Lilitan kapten buat pasukan Bosnia dipakai oleh penyerang berpengalaman, Edin Dzeko yang berperanan penting barisan serangan manakala Qatar pula menurunkan Akram Afif dan Hassan Al Haydos untuk mencari jaringan kali ini.
Permulaan yang cemerlang buat Bosnia yang berjaya meledak dua gol dalam tempoh 5 minit hasil penyudah Kerim Alajbegovic dan jaringan sendiri pertahanan kiri Qatar, Sultan Al-Brake pada pertengahan babak pertama.
Enggan mengalah, Qatar sempat merapatkan kedudukan 2-1 sebelum babak pertama berakhir setelah Hassan Al-Haydos menjaringkan gol hasil gerakan cantik yang disempurnakan dengan cukup tenang oleh penyerang berusia 35 tahun itu.
Ermin Mahmoc melengkapkan episod gembira Bosnia mengalahkan Qatar dengan gol ketiga ketika permainan berbaki 10 minit lagi untuk dimainkan sekali gus menyukarkan peluang buat The Maroon untuk bangkit pada aksi ini.
Aksi 90 minit berakhir dengan kemenangan 3-1 buat Bosnia untuk negara Eropah itu berada di kedudukan ke-3 kumpulan B dan nasib mereka bakal ditentukan oleh keputusan perlawanan-perlawanan di kumpulan yang lain.
Sementara itu, Switzerland dan Kanada sah layak ke pusingan kalah mati sebagai wakil dari kumpulan B selepas masing-masing menamatkan aksi selaku juara dan naib juara kumpulan meskipun kemenangan 2-1 dicapai wakil Eropah itu.