Malaysia membuka tirai kempen Hoki Piala Dunia Remaja 2023 dengan langkah kanan apabila menewaskan Chile pada aksi pertama kumpulan A.
Malaysia yang turun dengan misi mengejar tiga mata pertama dilihat mendominasi permainan dengan beberapa percubaan merbahaya namun kekebalan penjaga gol Chile, Julian Villanueva berjaya menafikan tiga peluang negara menerusi pukulan sudut penalti.
Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba menerusi Harris Osman yang tidak dikawal mudah menolak bola ke gawang Chile pada minit ke-13 untuk memberi kelebihan kepada pasukan negara sebelum suku pertama berakhir.
Asakan bertali arus skuad remaja negara berjaya menghasilkan gol kedua pasukan apabila pukulan deras pemain tengah, Danish Aiman gagal diselamatkan penjaga gol Chile pada minit ke-23.
Separuh masa pertama berakhir, Malaysia berjaya mendahului Chile dengan keputusan 2-0.
Beberapa pertukaran dilakukan Chile dalam usaha untuk menyaingi pasukan negara, dan keputusan tersebut membuahkan hasil apabila Chile menjaringkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti Sebastian Wolansky 4 minit setelah separuh masa kedua bermula.
Berbekalkan sorakan padu para peminat yang hadir ke Stadium Hoki Bukit Jalil, anak-anak buah Amin Rahim berjaya melebarkan jurang dengan gol ketiga hadir menerusi Andywalfian Jeffrynus minit ke-36.
Skuad The Young Tigers terus mengasak kubu Chile dan hasilnya, gol keempat dan kelima negara berjaya diperoleh menerusi Azmilmuizzuddin Misron dan Shamsul Shamir pada minit ke-39 dan ke-41.
Suku keempat bermula, Malaysia tidak menunggu lama apabila penyerang, Shahmie Irfan dengan mudah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-47 untuk menjadikan kedudukan 6-1.
Malaysia terus menghukum kesilapan pemain-pemain Chile untuk gol ketujuh negara apabila Shahmie Irfan sekali lagi berjaya menembusi gawang Chile menerusi pukulan penalti stroke lima minit sebelum permainan berakhir.
Tamat permainan, Malaysia meraih kemenangan pada aksi pertama kumpulan menundukkan Chile 7-1.
Malaysia kini memimpin carta kumpulan A dengan 3 mata, berkongsi mata dengan Argentina yang menewaskan Australia 1-0 pada sebelah petang namun dibezakan dengan perbezaan jaringan.
Aksi kedua kumpulan A yang bakal berlangsung pada 6 Disember menyaksikan skuad negara akan turun menentang Argentina manakala Chile akan berhadapan Australia.