Kelab Brazil, Botafogo mencipta kejutan dengan menewaskan juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia Kelab.
Kedua-dua kelab memburu misi layak ke pusingan seterusnya selepas menang perlawanan masing-masing. PSG menewaskan Atletico Madrid dengan Botafogo pula menumbangkan Seattle Sounders.
Penyerang berbisa Brazil, Igor Jesus terus menjadi taruhan jurulatih Botafogo, Renato Paiva. PSG pula memilih trio Khvicha Kvaratskhelia, Goncalo Ramos dan Desire Doue.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan di Rose Bowl, Pasadena.
Meskipun begitu, PSG berdepan kesukaran menembusi barisan pertahanan Botafogo. Ini kerana Paiva menyekat pergerakan jentera serangan kelab gergasi Perancis itu dengan formasi 4-5-1.
Tatkala PSG cuba mencari ruang, juara Copa Libertadores itu mendahului pada minit ke-36 menerusi Jesus. Selepas menerima hantaran Jefferson Savarino, beliau tenang menewaskan Gianluigi Donnaruma.
Tersentak, PSG berusaha memburu gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, anak buah Luis Enrique terus memberi tekanan ke atas benteng Botafogo tetapi tidak berhasil.
Situasi ini mendorong beliau memasukkan empat pemain gantian termasuk Fabian Ruiz dan Joao Neves untuk memperkemaskan rentak PSG.
Pemain pertahanan Maghribi, Achraaf Hakimi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-58. Malangnya, sepakan percuma beliau hanya melepasi palang gol.
Paiva membuat beberapa pertukaran demi mempertahankan kelebihan tipis yang dimiliki Botafogo. Ini termasuk mengeluarkan bekas pemain pertahanan Manchester United, Alex Telles.
PSG terus berusaha menembusi gawang Botafogo tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Botafogo layak ke pusingan 16 pasukan terbaik dengan enam mata.
PSG pula berkongsi mata sama dengan Atletico iaitu tiga mata. Ini selepas Los Rojiblancos menewaskan Seattle Sounders dalam satu lagi aksi kumpulan.
Sofascore memilih Vitinha sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0. Alexander Barboza merupakan pemain terbaik Botafogo dengan markah 7.7.
PSG kini perlu menewaskan Sounders dalam aksi terakhir kumpulan pada 24 Jun. Mereka juga perlu mengharapkan ihsan Botafogo menewaskan Atletico pada hari sama untuk layak.