Piala Dunia Kelab: PSG Belasah 10 Pemain Atletico Madrid
MakanBola
Paris Saint-Germain

Juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Paris Saint-Germain (PSG) membuka kempen Piala Dunia Kelab 2025 dengan membelasah Atletico Madrid 4-0.

Aksi ini disifatkan aksi balas dendam buat anak buah Luis Enrique. Ini kerana Los Rojiblancos menewaskan PSG pada 7 November 2024 dalam saingan UCL.

Penyerang Portugal, Goncalo Ramos mengetuai jentera serangan kelab gergasi Perancis itu. Gandingan Julian Alvarez dan Antoine Griezmann pula menjadi sandaran gol jurulatih Atletico, Diego Simeone.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha menyesuaikan diri beraksi dalam cuaca panas di Rose Bowl, Pasadena.

PSG terlebih dahulu meraih gol pendahuluan menerusi Fabian Ruiz pada minit ke-19. Ruiz melepaskan rembatan deras yang menewaskan kapten Los Rojiblancos, Jan Oblak.

Tersentak, Atletico cuba memburu gol penyamaan menerusi Alvarez, Griezmann, Giuliano Simeone dan Rodrigo de Paul. Malangnya, usaha mereka tidak berhasil.

Sebaliknya, giliran pemain perancang Portugal, Vitinha pula mencetak nama sebagai penjaring. Selepas melepasi barisan pertahanan Atletico, beliau mudah menewaskan Oblak untuk gol kedua.

Kelebihan gol tersebut memastikan PSG mendahului 2-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Simeone membuat pertukaran dengan memasukkan Koke menggantikan Samuel Lino.

Alvarez menyangka telah merapatkan defisit gol pada minit ke-59. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan VAR selepas Koke dikesan mengasari Desire Doue.

Atletico terus bernasib malang apabila Clement Lenglet diarah keluar padang 19 minit selepas itu. Bekas pemain Barcelona itu mengutip kad kuning kedua selepas bertelagah dengan pengadil.

Kelebihan itu pantas dimanfaatkan PSG. Pemain gantian, Senny Mayulu menyumbat gol ketiga kelab Perancis itu pada minit ke-87.

Los Rojiblancos makin derita apabila penalti dianugerahkan kepada PSG pada minit akhir perlawanan. Ini selepas VAR mengesan bola terkena tangan Robin Le Normand.

Penalti tersebut mudah disempurnakan bintang Korea Selatan, Lee Kang-in bagi memastikan kemenangan bergaya 4-0.

Keputusan ini menyaksikan PSG menerajui Kumpulan B dengan tiga mata. Sofascore memilih Vitinha sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.1.

Selepas ini, PSG akan menentang kelab Brazil, Botafogo pada 20 Jun. Atletico Madrid pula akan menentang kelab Amerika Syarikat (AS), Seattle Sounders pada hari yang sama.