PSG Muncul Juara UCL Buat Kali Pertama, Mudah Belasah Inter Milan
MakanBola
PSG FC

Kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) diangkat selaku juara UEFA Champions League (UCL) setelah mudah membelasah Inter Milan di final pada awal pagi Ahad.

Pertemuan di gelanggang final ini menjadi tumpuan peminat setelah PSG dan Inter Milan turun membawa misi besar bagi menjulang kejuaraan UCL buat julung kalinya dalam sejarah.

Achraf Hakimi dan Marquinhos dipilih untuk menjadi watak penting di posisi pertahanan PSG kali ini tatkala Inter Milan dengan formasi 3-5-2 ditunjangi oleh penyerang Argentina, Lautaro Martinez.

Stadium Allianz Arena bersorak ria seawal minit ke-12 setelah Achraf Hakimi berhasil meletakkan PSG di hadapan menerusi satu percubaan jarak dekat di dalam kotak penalti Inter Milan.

Tidak lama kemudian, giliran bintang muda, Desire Doue pula menambah kelebihan buat PSG dengan gol kedua pada minit ke-20 setelah menyudahkan gerakan Ousmane Dembele.

Separuh masa pertama tamat, PSG 2-0 Inter Milan.

Bersambung babak kedua, Desire Doue sekali lagi mencatat nama selaku penjaring dengan gol ke-3 buat PSG yang juga jaringan kedua peribadi di minit ke-63 untuk kedudukan 3-0.

Pada minit ke-73, Kvicha Kvaraskhelia melepasi perangkap ofsaid yang dibuat oleh Inter Milan sebelum dengan mudah melepaskan rembatan kencang mengatasi Yann Sommer di pintu gol.

Seorang lagi pemain muda iaitu Senny Mayulu melengkapkan malam bersejarah untuk PSG dengan gol ke-5 di penghujung aksi sekaligus mengakhiri perjuangan pasukan Inter Milan di final.

Aksi di Allianz Arena berakhir dengan keputusan 5-0 memihak PSG.

Ini adalah kejuaraan UCL pertama untuk PSG dalam sejarah penubuhan kelab tersebut selain menjadi perlawanan akhir dengan skor jaringan terbesar yang pernah direkodkan.