Advertising
Piala EFL: Newcastle United Lolos Ke Final, Singkirkan Arsenal
MakanBola
Newcastle United
Sponsors

Newcastle United mengesahkan kemaraan ke final Piala EFL apabila menyingkirkan pasukan gergasi utara London, Arsenal dalam aksi separuh akhir kedua di St. James Park.

The Gunners sedar mereka perlu mengatasi kelebihan agregat dua gol yang dimiliki Newcastle sekiranya mahu beraksi di pentas final. The Magpies pula berharap dapat mengekalkan kelebihan mereka selepas tewas dua aksi sebelumnya.

Ad

Martin Odegaard mengetuai cabaran pelawat. Ketiadaan Joelinton mendorong pengurus Newcastle, Eddie Howe menurunkan Sven Botman dan Kieran Trippier.

Babak pertama menyaksikan The Magpies menyangka telah meraih gol pendahuluan seawal minit keempat menerusi penyerang berbisa dari Sweden, Alexander Isak.

Ad

Isak berjaya melepasi barisan pertahanan pelawat sebelum menewaskan penjaga gol Arsenal, David Raya. Malangnya, gol tersebut dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Ad

Arsenal berharap dapat merapatkan jurang gol menerusi Odegaard pada minit ke-19. Walau bagaimanapun, percubaan pemain perancang Norway itu tersasar.

Ad

Kegagalan The Gunners memanfaatkan peluang mereka pantas dihukum tuan rumah. Jacob Murphy meletakkan Newcastle di hadapan tak lama selepas itu.

Isak sekali lagi berjaya melepasi kawalan William Saliba dan Gabriel Magalhaes sebelum melepaskan rembatan ke arah gol. Meskipun rembatannya terkena palang, Murphy pantas menolak bola ke dalam gawang Arsenal.

Tersentak, Arsenal meningkatkan asakan ke atas kubu pertahanan Newcastle tetapi tidak berhasil. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, tuan rumah terus memberi tekanan ke atas The Gunners menerusi gandingan Isak, Murphy dan Anthony Gordon.

Gordon menambah derita Arsenal dengan menyumbat gol kedua tuan rumah pada minit ke-52. Fabian Schar merampas bola daripada Declan Rice sebelum bekas pemain sayap Everton itu menewaskan Raya.

Situasi ini mendorong pengurus The Gunners, Mikel Arteta memasukkan Mikel Merino, Raheem Sterling, Riccardo Calafiori dan Jorginho untuk mengubah momentum perlawanan.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku dengan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan The Magpies mara dengan keputusan agregat 4-0.

Newcastle kini menunggu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Tottenham Hotspur dan pendahulu liga, Liverpool. Sofascore memilih Murphy sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.5.

Selepas ini, The Magpies akan menentang Birmingham City di St. Andrews pada 9 Februari. The Gunners pula akan menentang Leicester City untuk aksi liga seterusnya pada 15 Februari.