Advertisement
Piala Malaysia: ‘Hujan’ Kad Kuning Warnai Kebuntuan Kedah Darul Aman Dan JDT Di Darul Aman
Piala Malaysia
MakanBola
johor southern tigers

Perlawanan suku akhir pertama yang melibatkan tuan rumah, Kedah Darul Aman FC menentang Johor Darul Ta’zim berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebentar tadi

Perlawanan bermula dengan sedikit tegang selepas beberapa insiden kekasaran yang dilakukan kedua-dua pasukan namun pengadil dilihat bijak mengawal suhu perlawanan. Pasukan JDT mempunyai peluang untuk mendahului pada minit ke-5 namun tandukan Bergson da Silva melambung tinggi.

Pada minit ke-28 Safawi Rasid berjaya melepaskan rembatan namun lemah dan mudah ditangkap oleh Shahril Saar’i. Untuk 30 minit yang pertama, dominasi JDT dapat dilihat dengan hantaran-hantaran pendek manakala pemain-pemain Kedah bertahan dengan baik untuk mengekang segala asakan.

Mauricio hampir menjaringkan gol pada minit ke-41 namun tandukannya berjaya ditumbuk keluar oleh penjaga gol Kedah. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan seri 0-0.

Bersambung babak kedua, penguasaan terus dipamerkan oleh pasukan JDT dengan mereka kerap bertukar-tukar hantaran pendek yang memaksa pemain-pemain Kedah bertahan dan menunggu untuk melancarkan serangan balas.

Prestasi Arif Aiman dilihat sangat baik dalam perlawanan ini selepas kerap kali berjaya menembusi bahagian pertahanan kiri pasukan Kedah yang dijaga Ariff Farhan.

Pada minit ke-62 perlawanan sedikit tegang selepas Baddrol Bakhtiar terbaring mengalami kecederaan namun bola tidak dikeluarkan pemain JDT dan membuatkan pemain-pemain pasukan Kedah kurang berpuas hati. Namun pengadil Razlan Joffri Ali sekali lagi memainkan peranan untuk menenangkan keadaan.

Kedah hampir mendahului pada minit ke-71 melalui pemain muda Aiman Afif namun rembatan leret beliau sedikit tersasar tatkala penjaga gol JDT, Farizal Marlias sudah pun tertewas.

Ketika perlawanan menjengah ke minit ke-90, Leandro hampir menjaringkan gol melalui sepakan percuma namun dapat diselamatkan oleh Shahril di gawang Kedah dan susulan dari Bergson hanya menemui sisi jaring.

Perlawanan ditamatkan dengan keputusan seri tanpa jaringan namun layangan kad kuning yang banyak sedikit sebanyak menggambarkan suhu sebenar perlawanan ini. Kedah Darul Aman FC bakal bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bertemu JDT pada 18 November ini untuk aksi suku akhir kedua.