Juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali ke rentak sebenar apabila mudah menewaskan Negeri Sembilan.
Aksi yang berlangsung di Stadium Paroi itu menyaksikan pasukan kendali K. Devan tempang tanpa beberapa tonggak utama.
JDT kekal menurunkan kesebelasan terbaik dengan jaringan awal muncul menerusi rembatan kencang Arif Aiman yang mudah menewaskan Firdaus Irman.
Gol kedua Harimau Selatan terhasil apabila kesilapan benteng Jang menyebabkan pasukan pelawat dihadiahkan penalti yanh disempurnakan oleh Bergson Da Silva pada minit ke-31.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengatur gerak untuk memperoleh gol ketiga sebagai bekalan selesa sambil tuan rumah sesekali mengatur langkah untuk serangan balas.
Beberapa peluang terhidang juga tidak dimanfaatkan oleh JDT untuk tambahan gol perlawanan termasuklaj percubaan Syamer Kutty dalam kotak penalti.
Gol pada masa tambahan oleh Bergson melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 di tempat lawan.
Tambahan masa 5 minit tidak mampu mengubah keputusan perlawanan yang dikuasai oleh JDT.
Kemenangan ini memastikan Harimau Selatan membawa bekalan selesa di laman sendiri bagi aksi timbal balik pada 23 September kelak.