Piala Negara-Negara: Malaysia Raih Tempat Keenam, Tewas Di Tangan Wales
UltraSukan
MHC

Malaysia mengakhiri kempen Piala Negara-Negara 2025 di tempat keenam apabila tewas kepada Wales dalam perlawanan penentuan tempat kelima/keenam.

Kedua-dua pasukan memburu kemenangan bukan saja untuk posisi tempat kelima kejohanan. Malah, ini peluang buat Malaysia dan Wales memperbaiki ranking masing-masing.

Marhan Abdul Jalil terus mengetuai benteng The Speedy Tigers. Benjamin Francis pula mengetuai cabaran Wales.

Malaysia hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Akhimullah Anuar Esook. Malangnya, sungkitan beliau tidak mengenai sasaran.

Tujuh minit kemudian, giliran Azrai Aizad Abu Kamal pula mencemaskan benteng pertahanan Wales. Meskipun berjaya menewaskan penjaga gol, Toby Reynolds-Cotterill, pukulan beliau terkena tiang.

Kem negara akhirnya ceria apabila Syed Syafiq Syed Cholan menyumbat gol pertama pada minit ke-20. Pukulan penalti deras beliau berjaya menewaskan Reynolds-Cotterill.

Wales berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung sebelah rehat, Wales yang dibimbing Daniel Newcombe terus memberi tekanan kepada kubu negara yang dikawal Marhan.

The Speedy Tigers kemudiannya kehilangan khidmat pemain berpengalaman, Faiz Helmi Jali akibat kecederaan. Ini selepas bola pukulan penalti Wales yang ditampan penjaga gol, Rafaizul Saini terkena dadanya.

Susulan itu, pasukan perubatan segera memberi rawatan kepada Faiz sebelum diusung keluar dari padang. Penyokong Malaysia menghela nafas lega apabila melihat beliau kembali beraksi tidak lama selepas itu.

Wales kemudiannya meraih gol penyamaan pada minit ke-43. Pukulan deras Jack Pritchard terkena kayu hoki Rhys Bradshaw yang menewaskan Rafaizul.

Tujuh minit kemudian, giliran Gareth Furlong pula meletakkan Wales di hadapan pada minit ke-50 menerusi gol padang.

Skuad negara terus memberi tekanan kepada Wales untuk memburu gol penyamaan. Gol yang dicari disangka muncul pada minit akhir perlawanan menerusi Faris Harizan.

Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan selepas semakan video mendapati bola terkena kaki Fitri Saari sebelum masuk ke gawang Wales. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Wales dan Malaysia menamatkan kempen Piala Negara-Negara di tempat kelima dan keenam.

Kini, fokus beralih pula kepada aksi final membabitkan New Zealand dan Pakistan. Aksi penentuan tempat ketiga/keempat pula menyaksikan Perancis berentap dengan Korea Selatan.