Piala Presiden: Langkah Kanan Buat JDT & Selangor
MakanBola
JST/SFC

Juara bertahan Piala Presiden, Johor Darul Ta’zim (JDT) III dan naib juara musim lalu, Selangor FC membuka kempen musim 2026 dengan langkah kanan.

Ini selepas kedua-dua pasukan berjaya meraih kemenangan dengan lawan masing-masing dalam aksi pertama kejohanan itu baru-baru ini.

JDT III tampil garang dengan membelasah Negeri Sembilan FC III 6-0 di Stadium Pasir Gudang. Afiq Zimam Shahril Izzuddin bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-21.

Muhammad Arsyad Shamsul Aswadi menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-44. Daniesh Amirruddin mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-52.

Empat minit selepas itu, Izzuddin Afif Nazarudin menambah derita Negeri Sembilan III dengan gol keempat. Abid Safaraz Rozaidi dan Daniesh memastikan kemenangan bergaya JDT III dengan gol pada minit ke-61 dan 71.

Selangor yang dibimbing Firdaus Tan Aziz turut melakar kemenangan 2-0 ke atas Kedah FA. Mulia Hairi Muliasugeharto meletakkan Merah Kuning di hadapan pada minit ketiga.

Empat minit selepas itu, Rosyamsyierul Syafiq Rosmaini memastikan kemenangan Selangor dalam perlawanan berkenaan.

Keputusan semasa menyaksikan kedua-dua pasukan mengungguli kedudukan dua teratas liga dengan tiga mata.

Selepas ini, JDT III yang dibimbing Pedro Cellado Celda akan menentang Penang FC II pada 7 Mei. Selangor pula akan menentang Kuching CIty FC pada 10 Mei.